Aksi Shevon (kiri) dan Soon Huat pada Jelajah Dunia di China. FOTO EPA
Helmi Talkah
helmi.talkah@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menamatkan kempen Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Guangzhou, China di tangga tercorot Kumpulan A selepas tewas semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Hasrat pasangan ke-11 dunia itu untuk sekurang-kurangnya mencatat satu kemenangan tidak kesampaian apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut, hari ini.

Kali ini, mereka yang kali pertama layak ke kejohanan penamat musim itu terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu England, Marcus Ellis-Lauren Smith 20-22, 22-20, 14-21.

Dua aksi pertama peringkat kumpulan menyaksikan juara Terbuka Singapura itu tewas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanahai dan pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.

Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui berkata, kegagalan Soon Huat-Shevon mencatat kemenangan sepanjang kejohanan kali ini seharusnya membuka mata dan menilai sendiri di mana tahap mereka berbanding pasangan utama dunia.

“Apa yang saya boleh katakan, Soon Huat-Shevon gagal beraksi pada tahap terbaik mereka pada kejohanan ini. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memperbaiki setiap kelemahan.

“Walaupun tewas semua perlawanan peringkat kumpulan tapi sekurang-kurangnya mereka tahu di mana tahap sebenar mereka berbanding jaguh dunia.

“Perjalanan mereka masih jauh dan perlu terus bekerja keras terutama bagi menghadapi saingan musim depan termasuk kelayakan ke Olimpik,” kata Eei Hui ketika dihubungi.

Soon Huat-Shevon layak buat kali pertama pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.28 juta) itu selepas menghuni kedudukan ketujuh ranking Jelajah Dunia BWF.

Hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking layak beraksi pada kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 4:56 PM