Sumareh mahu impian bergelar juara menjadi kenyataan. FOTO NSTP
Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


Kuala Lumpur : Pemain kelahiran Gambia Mohamadou Sumareh mengakui memikul bebanan berat sepanjang 40-50 hari bersama skuad bolasepak kebangsaan.

Namun dia berharap segala usaha itu berbalas dengan kemenangan dan seterusnya melengkapkan kejayaan pasukan negara.  

Ketika rakan pasukan di Pahang bercuti, pemain berusia 24 tahun itu berjuang memastikan Malaysia berjaya merangkul gelaran juara kedua Piala AFF dan berharap dapat merealisasikannya pada final timbal balik di Hanoi, malam esok. 

"Sesetengah pemain sedang bercuti tapi kami berada di sini dan tidak akan membiarkan usaha kami menjadi sia-sia kerana tiada siapa akan mengingati mereka yang berada di tempat kedua atau naib juara. 

"Banyak yang kami korbankan untuk sampai ke tahap ini jadi kami akan cuba mencapai impian untuk mencipta kemenangan menjadi kenyataan," katanya. 

Selepas aksi kurang menyengat pada final pertama menentang Vietnam yang berkesudahan seri 2-2 di Stadium Bukit Jalil Selasa lalu, Sumareh berkata, bukan gayanya bermain corak agresif seperti pihak lawan tapi dia akan cuba mengubahnya jika keadaan memerlukan. 

"Saya mahu menang, tapi bukan bermain secara agresif kerana itu bukan gaya saya. 

"Tapi jika saya perlu bertindak agresif untuk menang, saya akan lakukannya," katanya. 

Sementara itu, Sumareh menyifatkan pemain tengah Vietnam Nguyen Quang Hai antara pemain yang mampu meranapkan impian Malaysia. 

Dia melihat pemain berusia 21 tahun itu berbahaya dan muncul antara penjaring utama Vietnam dalam kempen kali ini dengan tiga gol. 

"Mereka (Vietnam) mempunyai kekuatan fizikal, mantap dan mampu menyerang balas dengan pantas dan selepas beraksi menentang mereka dua kali, kami perlu mengawal pemain berjersi 19 (Quang Hai)," katanya. 

Sumareh mengakui dia gembira apabila mengetahui Syahmi Safari kembali daripada penggantungan kerana dapat kembali bergandingan bersama pemain itu di atas padang.

  • Lagi berita Piala AFF
  •  

     

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 4:42 PM