Daripada Aziman Rosdi di Hanoi
aziman@nstp.com.my


ADA sebab untuk Harimau Malaya berasa gerun apabila bertandang ke Stadium Nasional My Dinh berdepan Vietnam pada final kedua Piala AFF, malam esok.

Skuad kendalian Park Hang-seo itu memiliki jentera serangan cukup bahaya apabila kini memegang rekod pemain paling ramai menjaringkan gol pada kempen kali ini.

Tujuh pemain membantu Vietnam mengumpul 14 gol setakat ini diketuai Nguyen Anh Duc, Nguyen Cong Phuong serta Nguyen Quang Hai dengan masing-masing menjaringkan tiga gol, Phan Van Duc (2), Nguyen Tien Linh (1), Nguyen Huy Hung (1) dan Pham Duc Huy (1).

Malah Hang-seo cukup yakin apabila tidak menurunkan dua penjaring terbanyak Anh Duc dan Cong Phuong ketika seri 2-2 dengan Harimau Malaya pada aksi final pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu.

Menurut Anh Duc, dia bersedia untuk beraksi esok jika diberikan kepercayaan untuk menggempur kubu Malaysia.

“Jika diberi peluang, saya akan berikan yang terbaik. Saya yakin kami boleh memenangi piala kali ini,” katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.

Dalam pertemuan pertama, Ha Duc Chinh dan Van Duc diturunkan dalam kesebelasan utama namun persembahan mereka dikritik peminat sendiri kerana banyak mensia-siakan peluang.

“Saya memberitahu kepada mereka supaya jangan terlalu memikirkan perlawanan itu, ia sudah berlalu. Cuma fikirkan perlawanan selepas ini. Semua pemain mahu menjaringkan gol tapi dalam bola sepak kadang kala berlaku di mana kita terlepas peluang.

“Penyerang generasi lalu juga gagal menjaringkan gol jadi kita cuma berikan aksi terbaik. Jangan mudah kecewa,” kata Anh Duc yang meledak satu gol ketika menewaskan Malaysia 2-0 pada aksi peringkat kumpulan.

  • Lagi berita Piala AFF
  •  

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 3:35 PM
    Vietnam bakal mendapat sokongan padu bermain di laman sendiri. FOTO AFP