PASUKAN Sky Great Britain. FOTO AFP

LONDON: Masa depan pasukan gergasi berbasikal dunia, Team Sky samar selepas syarikat media British, Sky mengumumkan untuk menamatkan kerjasama yang sudah menghasilkan enam kemenangan Tour de France, sejak tujuh tahun lalu.

Team Sky sudah meraih lapan gelaran Grand Tour sejak membentuk kerjasama walaupun dibayangi kontroversi penggunaan bahan terlarang.

Menurut kenyataan Team Sky, secara keseluruhan mereka sudah menang 322 kali sejak 2010, serta bakal tampil buat musim terakhir sebagai Team Sky pada tahun depan dan meneruskannya dengan nama lain bergantung kepada penaja.

Pengurus Besar Team Sky, Dave Brailsford yakin mereka masih yang terbaik walaupun dengan masa depan yang tidak menentu.

"Setiap perubahan mencetuskan peluang. Kami mahu membina sesuatu, kami mencipta. Daripada kaca mata kami, ia adalah peluang," katanya.

Beliau menambah: "Situasi realiti dengan Sky dan persekitaran serta semuanya...adalah ia hadir dengan kejutan? Tidak sebenarnya.

"Kami bermula dengan cita-cita, mahu menang Tour de France dalam lima tahun?. Kami sudah memikirkan untuk melihat musim ke-10 kami".

Pengumuman Sky itu menutup episod luar biasa dalam lebuh raya yang bermula dengan impian mencipta pasukan Britain pertama muncul juara Tour de France dan ia kelihatan terlalu tinggi ketika itu.

Namun Bradley Wiggins menjadikannya realiti pada 2012, disusuli kejayaan Chris Froome menang empat kali dan Geraint Thomas menjadi pelumba ketiga pasukan meraihnya tahun ini.

Froome melihat perkembangan terbaru itu secara positif apabila menegaskan pasukannya akan kembali lebih kuat dengan penaja baru.

"Kami masih belum selesai. Setiap individu di Team Sky mempunyai cita-cita yang besar untuk tahun depan dan berita ini menjadikan kami lebih berazam untuk menjadikannya realiti," menurutnya menerusi akaun Twitter.

"Saya tidak boleh meramalkan masa depan namun saya boleh katakan bahawa ini adalah pasukan yang sangat istimewa.

‘Kami merancang untuk bersama pada 2020 dan akan berusaha semuanya untuk menjadikannya realiti walaupun bersama rakan penaja yang baru namun dengan nilai yang sama, fokus dan keinginan untuk menang,". -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 11:27 AM