PEMAIN Valencia, Geoffrey Kondogbia (kiri) melepasi halangan pemain Manchester United, Paul Pogba dalam saingan Kumpulan H. FOTO EPA
AFP

VALENCIA, Sepanyol: Manchester United melepaskan peluang untuk mengungguli Kumpulan H, Liga Juara-Juara selepas persembahan hambar yang menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Valencia, pagi tadi.

Selepas mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati, Jose Mourinho melakukan lapan pertukaran ke atas skuad kendaliannya di Mestalla, termasuk menyenaraikan kembali Paul Pogba yang sebelum ini kerap diketepikan.

Namun, United mudah diatasi lawan dari Sepanyol itu yang kini berada di tangga ke-15, La Liga.

Selepas permainan, Mourinho seakan mengecam barisan pemain yang diturunkannya. “Tidak ada apa yang mengejutkan saya langsung,” kata Mourinho.

Rembatan Carlos Soler pada minit ke-17 dan gol sendiri Phil Jones pada minit ke-47 meletakkan Valencia di depan pada awal babak kedua, sebelum United bangkit di akhir permainan dengan merapatkan jurang menerusi tandukan Marcus Rashford (minit ke-87).

Mungkin Mourinho dan pemainnya menyangka Juventus akan menang ke atas Young Boys dan peluang muncul juara kumpulan sudah tertutup, namun kekalahan mengejutkan kelab Itali itu, 1-2 di tempat lawan membuka ruang seketika buat United untuk berdepan lawan lebih mudah di peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, sebagai naib juara kumpulan, United akan diundi bertemu sama ada Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Paris Saint-Germain, Borussia Dortmund atau Porto dalam kelompok 16 terakhir.

Juventus pula bakal berdepan sama ada Atletico Madrid, AS Roma, Schalke, Ajax atau Lyon.

Undian untuk pusingan kalah mati akan diadakan pada Isnin ini.

“Selain daripada beberapa kelab yang lebih baik daripada yang lain, saya tidak rasa undian itu membawa perbezaan besar,” kata Mourinho.

“Ada pasukan di tangga kedua yang cuba dielak oleh pasukan yang berada di tempat pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 8:10 AM