DR Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan Anugerah Olympian Tahunan MOM 2018 kepada atlet, Amy Kwan Dict Weng, (kanan) sempena majlis Makan Malam Tahunan & Malam Anugerah MOM ke-25 Tahun 2018 di Hotel ShangriLa, Jalan Sultan Ismail. FOTO/AZHAR RAMLI
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat
sukanteam@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail memaklumkan peruntukan kewangan bagi persatuan sukan kebangsaan akan dipertingkatkan selepas ekonomi negara kembali stabil.

Dr Wan Azizah berkata beliau sedia maklum rintihan persatuan sukan kebangsaan apabila peruntukan kewangan buat mereka terpaksa dipotong.

"Saya dimaklumkan banyak pihak bahawa persatuan kebangsaan melahirkan rasa tidak senang hati apabila peruntukan untuk pembangunan sukan masing-masing terpaksa dibatal atau dikaji semula.

"Kerajaan mengambil maklum perkara ini tetapi ini adalah hakikat kekangan kewangan negara pada masa ini. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan juga akan mengkaji dan menggalakkan pembabitan pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyokong usaha pembangunan sukan negara," katanya dalam Majlis Makan Malam Tahunan dan malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia ke-25 di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.

Beliau berkata pihak swasta boleh menyumbang dalam bentuk penajaan kepada program pembangunan sukan atau penganjuran acara sukan sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Bagi menggalakkan penajaan daripada pihak swasta terhadap pembangunan sukan negara, pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan meluluskan permohonan MOM sebagai salah satu institusi yang mendapat status kemudahan pelepasan cukai sejak 22 Julai 1965, di bawah Ordinan Cukai Pendapatan 1947.

"Saya pasti kemudahan pelepasan cukai ini menyumbang ke arah pengukuhan status kewangan MOM yang kuat pada hari ini, " katanya.

Sementara itu Wan Azizah meminta rakyat mendoakan kemenangan skuad Harimau Malaya negara pada perlawanan akhir kedua Piala AFF di Hanoi, Vietnam pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 11:16 PM