HAMIDIN mahu anak buah Cheng Hoe lupakan kelebihan Vietnam. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meminta pemain Harimau Malaya segera melupakan kekecewaan seri 2-2 dengan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Berdasarkan peraturan jaringan tempat lawan, dua gol yang diraih skuad Naga Emas pada aksi final pertama Piala AFF itu jelas memberi kelebihan buat Vietnam yang hanya memerlukan seri tanpa jaringan apabila bertemu buat kali kedua di Hanoi, Sabtu ini.

Namun, ia bukan penamat buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe dengan Hamidin percaya peluang Malaysia masih terbuka asalkan pemain segera bangkit dan fokus untuk aksi timbal balik itu nanti.

"Walaupun kita seri di laman sendiri, saya berharap Cheng Hoe, pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai akan terus bersemangat untuk berjuang bagi aksi di Hanoi nanti.

"Jangan terlalu kecewa, peluang masih terbuka. Kita perlu terus fokus dan berfikiran positif kerana masih ada baki 90 minit lagi untuk memastikan Malaysia dapat menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali kedua dalam sejarah.

“Terus berjuang Harimau Malaya!" katanya.

Selepas mengejutkan juara bertahan Thailand di separuh akhir, skuad negara kini berada pada landasan terbaik untyuk menamatkan kemarau lapan tahun selepas memenanginya pada 2010 lalu.

Begitupun, lawan yang ditemui bukan mudah apatah lagi dengan reputasi gah Vietnam selaku pasukan terbaik Asia Tenggara yang kini berada di ranking ke-100 dunia, berbanding Malaysia di ranking ke-167.

Ternyata kedudukan ranking FIFA itu memainkan peranan besar apabila anak didik Park Hang Seo terlebih dulu mendahului 2-0 menerusi jaringan pantas dalam tempoh tiga minit.

Pelawat meraih gol hasil percubaan Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan Pham Duc Huy pada minit ke-25.

Harimau Malaya yang mendapat sokongan padu lebih 85,000 penyokong terutama Ultras Malaya bangkit mengikat kedudukan menerusi tandukan Shahrul Saad (m-36) dan sepakan percuma Safawi Rasid (m-60).

Kedudukan itu sekali membuatkan penentuan juara akan ditentukan di Stadium Nasional My Dinh. 

Pada masa sama, Hamidin turut menghargai sumbangan penyokong bola sepak tempatan di seluruh negara yang sentiasa berada di belakang pasukan. 

"Terima kasih buat semua penyokong terutama Ultras Malaya yang hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, bagi memberikan sokongan padu buat skuad Harimau Malaya.

"Tidak lupa buat seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama menonton menerusi siaran langsung di televisyen dan turut mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya untuk memburu kejuaraan Piala Suzuki AFF 2018 ini," katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  •  

     

    Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 7:13 PM