Penjelasan Subahan (kanan) pertahan Walsh (tengah) dan Oltmans belum memuaskan hati banyak pihak. FOTO HM Digital
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Penjelasan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yang mempertahankan ketua Pengarah Teknikal, Terry Walsh serta ketua jurulatih, Roelant Oltmans berhubung kegagalan di Piala Dunia di Bhubaneswar, India nyata belum dapat memuaskan hati semua pihak.

Bukan untuk mencetuskan krisis dengan Subahan, namun bagi mereka sudah cukup peluang diberikan kepada Walsh terutamanya yang dilihat gagal dalam tugasnya selepas kira-kira tiga tahun dilantik menggalas tanggungjawab besar itu.

Justeru mereka kekal berpendapat Walsh perlu meletak jawatan serta-merta dan pada masa memberi ruang kepada Oltmans yang baru dilantik selaku ketua jurulatih negara.

Bagi Naib Presiden MHC, Datuk Radhakrishnan Nair, tegurannya adalah untuk kebaikan arena hoki negara.

"Sudah tiba masanya untuk kita mengkaji semula kedudukan Walsh dengan menilai sumbangannya sepanjang tiga tahun menjadi pengarah teknikal.

"Untuk saya, Walsh tidak memberikan sebarang impak besar.

"Saya tidak mempunyai sebarang agenda peribadi antara saya serta Subahan. Ini adalah realiti dan kita harus bersikap terbuka," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah juga sependapat dengan berkata, sepanjang tiga tahun menggalas tugas selaku pengarah teknikal, tiada perubahan besar dilakukan Walsh.

"Beliau gagal. Sebagai pengarah teknikal memang tiada sebarang perubahan besar dilakukannya.

"Kita harus bersikap realistik dengan melihat kepada KPI (indeks prestasi utama) yang ditetapkan. Apabila pasukan tidak layak ke Sukan Olimpik di Sukan Asia, sepatutnya seseorang perlu bertanggungjawab dan individu itu adalah Walsh.

"Untuk Oltmans, saya fikir peluang perlu diberikan kepadanya lagi kerana masih baru menggalas tugas sebagai jurulatih," katanya.

Subahan menerusi laporan NSTP semalam menafikan tanggapan Walsh dan Oltmans gagal mempamerkan peningkatan untuk skuad negara.

Malaysia tersingkir awal pada saingan Piala Dunia selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan D.

Mereka tewas 0-7 kepada Belanda pada perlawanan pertama, seri 1-1 dengan Pakistan serta tewas 3-5 kepada Jerman pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Secara keseluruhan, Malaysia menduduki tempat kedua tercorot daripada 16 pasukan bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 5:58 PM