PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho. FOTO Reuters
Agensi

VALENCIA: Jose Mourinho kurang senang apabila ditanya puncanya tidak mendapat aksi terbaik pemegang rekod perpindahan termahal Manchester United, Paul Pogba, menjelang aksi menentang Valencia awal pagi nanti.

"Saya tidak fikir soalan anda tidak menjurus ke arah sesuatu yang saya mahu jawab atau dengar. Saya tidak gemar dengan tujuan dan soalan anda."

Jelas sekali Mourinho merasakan Pogba perlu memberikan lebih untuk United dan bukan sebaliknya.

Banyak yang sudah diperkatakan Mourinho sepanjang siri jejajah pasukan pada musim panas lalu selepas Pogba menjulang Piala Dunia bersama Perancis dan kemudiannya situasi bertambah buruk.

Pemain yang ditandatangani United dengan rekod 89 juta pound (RM465.6 juta) itu tidak tersenarai dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan terakhir termasuk ketika mengatasi Fulham minggu lalu.

Awal pagi nanti, Pogba akan kembali dengan Mourinho percaya ia perlawanan yang tidak relevan di Valencia (Liga Juara-Juara), namun berharap pemain itu untuk membuktikan kemampuannya menjelang kunjungan ke Liverpool pada Ahad nanti.

United dan Juventus sudah mengesahkan tiket saingan kalah mati. Skuad kendalian Mourinho di kedudukan teratas Kumpulan H jika menang dan kelab Itali gagal menumbangkan Young Boys di Switzerland.

"Saya tidak memikirkan perlawanan dengan Liverpool namun esok (awal pagi ini)," jelas Mourinho. "Kami sudah layak dan bola sepak adalah bola sepak, apa saja boleh berlaku."

"Juventus seharusnya tidak berdepan kesukaran menang di Switzerland dan saya fikir keputusan esok (awal pagi nanti) tidak akan memberikan impak sama ada di kedudukan pertama atau kedua kumpulan."

"Saya mahu dia beraksi dengan baik dan impak yang bagus kepada perlawanan serta pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 1:47 PM