KARIM IBRAHIM
Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berpuas hati apabila Majlis Sukan Negara (MSN) menerima 30 atlet bagi menyertai program persiapan ke Sukan SEA 2019 Filipina.

“Kami mencadangkan 30 atlet untuk ke Sukan SEA dan kesemua mereka diterima ke dalam program. Nama yang tersenarai adalah pemenang pingat emas dan perak temasya lalu di Kuala Lumpur.

“Tidak ketinggalan atlet berbakat seperti pemenang emas Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh pada September lalu seperti raja dan ratu pecut - Muhammad Aqil Yasmin dan Azreen Nabila Alias,” kata Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim kepada NSTP di sini hari ini.

Karim berkata atlet lain masih berpeluang melayakkan diri ke Sukan SEA dengan kemungkinan dibenarkan menyertai program pelapis.

Karim juga berkata persetujuan mengenai cadangan membawa masuk jurulatih berpengalaman dari luar khususnya bagi acara pecut semakin cerah.

“Kita tak mahu jurulatih dari negara seperti Russia misalnya dimana nanti kita mempunyai masalah komunikasi. Macam mana kita mahu jurulatih itu berkongsi pengetahuan kalau ada masalah begini,” katanya.

Beliau berkata jurulatih yang dibawa ke negara ini nanti akan berkongsi pengetahuan dengan jurulatih tempatan dan juga membantu pembangunan di peringkat negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 7:30 PM