ORANG ramai berkumpul di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mendapat tiket perlawanan akhir Piala AFF 2018. FOTO Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Walaupun kaunter tiket perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil akan dibuka jam 9 pagi esok, penyokong sudah mula beratur seawal jam 9 malam untuk memastikan mereka tidak terlepas peluang.

Sebanyak 40,000 tiket akan dijual sehingga 5 petang Ahad atau sehingga habis, namun bagi peminat yang gagal mendapatkan tiket secara dalam talian, mereka tidak mahu terlepas peluang kali kedua.

Sebelum ini, 40,000 tiket sudah habis dijual secara dalam talian melalui dua sesi dan jualan tiket secara fizikal akan dibuka esok di Stadium Nasional Bukit Jalil serta premis terpilih Al-Ikhsan.

Satu kaunter tiket khas juga dibuka di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada penyokong yang mempunyai keratan tiket perlawanan separuh akhir kedua Harimau Malaya menentang Thailand, di Bangkok.


ORANG ramai berkumpul di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mendapat tiket perlawanan akhir Piala AFF 2018. FOTO Zunnur Al Shafiq

Selasa ini, skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe akan berdepan Vietnam dalam perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil, sebelum bertandang ke Hanoi untuk perlawanan kedua pada 15 Disember ini.

Harimau Malaya layak ke pentas akhir buat kali keempat selepas seri 2-2 dengan Thailand, namun mara berdasarkan peraturan jaringan di tempat lawan. Pada separuh akhir pertama, kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Bukit Jalil.


ORANG ramai berkumpul di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mendapat tiket perlawanan akhir Piala AFF 2018. FOTO Zunnur Al Shafiq

Jualan tiket esok dijangka akan habis dijual dalam tempoh singkat. Ini berdasarkan sambutan hangat peminat tempatan ketika aksi menentang Thailand serta Myanmar (peringkat kumpulan) yang menyaksikan lebih 80,000 penyokong membanjiri stadium.

Berdasarkan perkongsian gambar dan info melalui laman sosial penyokong, ramai yang mula beratur awal dengan ada yang membawa tikar serta bekalan makanan.


ORANG ramai berkumpul di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mendapat tiket perlawanan akhir Piala AFF 2018. FOTO Zunnur Al Shafiq

Sebelum ini, FAM menetapkan seorang penyokong hanya dibenarkan membeli lima keping tiket seorang. Pada masa sama, badan indu bola sepak negara itu mengingatkan penyokong supaya tidak membeli tiket daripada ulat tiket.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 12:55 AM