TOCANG (kiri) harap Pahang mampu julang trofi musim depan. FOTO/NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


KUANTAN: Pemain utama Pahang musim ini, Mohd Faisal Rosli yang belum pernah mengucup trofi Liga Super menaruh harapan skuad itu mampu menjulangnya musim hadapan. 

Biarpun menyedari saingan getir bakal dihadapi khususnya Johor Darul Ta'zim (JDT) yang pasti mahu mempertahankan piala itu, dia percaya skuad Tok Gajah mampu mencapai misi berkenaan. 

"Kami bukan sahaja mahu mempertahankan Piala FA dimenangi musim ini, malah merampas kembali trofi Liga Super yang pernah dijulang pada 2004. 

"Tempoh itu sudah terlalu lama dan kami perlu lebih bertenaga untuk menyekat pasukan lawan terutama JDT daripada terus menjulangnya musim hadapan. 

"Dengan komitmen tinggi diberikan pengurusan, kami mahu misi merangkul lebih banyak piala tercapai termasuk Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2014," kata pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu. 

Ditanya persediaan menghadapi Liga M musim 2019, Faisal atau Tocang mahu mempamerkan prestasi lebih baik terutama mengekalkan kedudukan selaku pemain utama skuad Tok Gajah. 

Katanya, kepercayaan jurulatih, Dollah Salleh yang menyenaraikannya dalam kesebelasan utama musim ini memberi lebih keyakinan untuk beraksi dengan lebih baik. 

"Saya harap musim hadapan Pahang akan lebih mantap  dengan kehadiran pemain import yang akan membantu merealisasikan misi pasukan," kata pemain berumur 27 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 12:23 PM