SKUAD boling Negara, Tun Hakim Tun Hasnul Azam (dua kiri), Rafiq Ismail (tiga kiri), Andrian Ang (empat kiri) bersama jurulatihnya, Holloway Cheah (kiri) dan Ben Heng tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nstp.com.my


SEPANG: Juara Bowling Lelaki Dunia, Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Adrian Ang diberi sambutan wira sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Hong Kong hari ini.

Rafiq melakar sejarah tanah air apabila muncul juara dunia di Kejohanan Bowling Lelaki Dunia di Hong Kong, Sabtu lalu.

"Saya rasa amat gembira dapat kembali ke tanah air dengan medal Kejohana Dunia,” kata Rafiq.

"Saingan itu amat sengit dengan kehadiran pemain terbaik dunia dan jangkaan saya tidaklah setinggi mana.

"Saya benar-benar tidak jangka mampu memenangi pingat emas Sukan Asia dan Kejohanan Dunia pada tahun yang sama,” katanya.

Rafiq, 21, berkata dia kini sedia bekerja keras meningkatkan lagi permainan bagi cabaran akan datang.

"Tahun ini adalah yang terbaik buat saya dan harap kekal fokus dan sebolehnya mahu menang lebih banyak lagi saingan selepas ini.

"Sasaran saya sebenarnya mahu mengikut jejak langkah Shalin Zulkifli dan saya pernah beritahu hal itu kepadanya ketika dia memberikan saya ucapan syabas (memenangi emas). Saya percaya (kemenangan) ini satu langkah yang tepat menuju ke arah itu.

Rafiq menewaskan pemain Kanada, Dan Maclelland 217-204 dalam final acara perseorangan sekali gus muncul atlet bowling Malaysia memenangi emas sejak 1979 ketika dimenangi oleh trio Allan Hooi, Ed Lim dan J.B Koo ketika di Manila.

Sejurus memenangi acara perseorangan itu, menyusul pula kejayaan oleh Adrian dan Tun Hakim yang menewaskan pasangan Amerika Syarikat, EJ Tackett-Andrew Anderson 433-370 untuk menyambar gelaran acara beregu sekali gus meletakkan Malaysia di tahap terbaik sepanjang sejarah pertandingan itu.

Adrian berkata, kejayaan itu sudah lama dinantikannya untuk menjelma.

"Ini adalah penyertaan kali keenam saya mewakli Malaysia dalam kejohanan itu dan ini adalah emas pertama buat saya, maka ia amat menggebirakan saya,” katanya.

"Saya berterima kasih kepada gandingan saya (Tun Hakim) yang memberikan persembahan mantap kali ini berbeza sekali dengan penampilan sebelumnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 9:46 PM