Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


SEPANG: Pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak berharap aksi final Piala AFF 2018 memprtermukan Malayia dengan Vietnam kerana dia mahu melunas dendam ketika tewas 0-2 di peringkat Kumpulan tempoh hari.

Aidil, 31, mengakui Harimau Malaya kini semakin bersemangat untuk menebus dendam kekalahan itu.

“Saya tak kisah pasukan mana yang kita bakal hadapi di final nanti, tetapi saya mahu bertemu Vietnam, kerana kita tewas di peringkat kumpulan dan saya mahu balas dendam.”

Namun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui tidak pasti sama ada dia akan diturunkan menentang lawan pada aksi pertama final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

“Saya cedera di paha pada awal permainan semalam dan harap ia tidak serius, apapun saya akan berbincang dengan doktor untuk bermain dalam final.

“Saya belum terlepas sebarang aksi dan malam tadi pertama kali saya terlepas peluang bermain dan saya harap ia tidak serius,” katanya.

Aidil yang cedera seawal minit ke-18 semalam terpaksa digantikan dengan Irfan Zakaria namun mengakui terpaksa bertahan selama itu kerana begitu bersemangat untuk membalas hinaan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom ketika sidang media pra perlawanan sehari sebelumnya.

“Sebenarnya, semangat kami semarak kerana sebelum itu kami rasa terbakar dengan kenyataan Chatchai dan sebab itulah kami bangkit.”

“Kami  memenangi perlawanan itu dan merasai perasaan gembira, hanya kami serta rakan-rakan dan jurulatih akan memahami perasaan sebenar memenangi perlawanan itu,” katanya.

Sementara itu, kembar Aidil, Zaquan Adha Abd Radzak selaku kapten meminta penyokong Harimau Malaya sekali lagi memberikan sokongan padu di Bukit Jalil Selasa ini.

“Saya harap kami akan memberikan kemenangan sekali lagi jika penyokong semua memberikan sokongan padu yang akan membakar semangat kami untuk melawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 9:14 PM
KAPTEN pasukan Malaysia, Aidil Zafuan Abd Radzak (kiri), Zaquan Adha Abd Radzak (kanan) bersama ibunya, Azizah Arshad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),Sepang. FOTO Nurul Shafina Jemenon