CAVANI (kiri) ledak gol penyamaan PSG. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Edinson Cavani menyelamatkan maruah Paris Saint-Germain (PSG) dengan memastikan kelab itu meraih satu mata selepas seri 1-1 dengan  Strasbourg dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi.

Penyerang antarabangsa Uruguay itu menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh minit ke-71 sekali gus menyamakan kedudukan selepas Kenny Lala terlebih dahulu meletakkan Strasbourg di depan empat minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Jaringan Cavani itu membolehkan PSG mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 16 perlawanan biarpun tanpa kelibat bintang sensasi Brazil, Neymar yang mengalami kecederaan.

“Jika kamu tiba dengan situasi tidak menentu dialami PSG, kamu akan pulang dengan keputusan positif. Kami mengalami kesukaran tetapi berjaya meminimumkan penguasaan mereka.

“Mereka mendominasi permainan tetapi kami jarang berada dalam keadaan bahaya,” kata jurulatih Strasbourg, Thierry Laurey.

PSG yang turut seri dengan Bordeaux hujung minggu lalu dan bermula tanpa Kylian Mbappe serta Thiago Silva masih jauh meninggalkan pencabar mereka selepas malam penuh kontroversi di Perancis apabila dipenuhi dengan jaringan lewat perlawanan, insiden dan teknologi video bantuan pengadil (VAR).

Juara bertahan, PSG ketika ini berada di tangga teratas dengan kelebihan 14 mata di depan Lille yang melonjak ke tangga kedua selepas menewaskan Montpellier 1-0 selain bantuan hasil kemenangan Rennes yang menewaskan Lyon 2-0.

PSG tidak akan beraksi sehingga mereka berkunjung ke Serbia bagi mengharungi aksi Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade dengan kemenangan bakal memastikan mereka layak ke pusingan 16 terbaik.

Perlawanan PSG menentang Montpellier Sabtu ini ditunda atas faktor keselamatan.

“Kami bangkit pada babak kedua perlawanan dan menguasi sepenuhnya permainan.

“Kami bermain dengan baik di babak kedua, membuktikan kualiti yang kami ada tetapi tidak dapat menjaringkan gol,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 10:23 AM