B SATHIANATHAN
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Jurulatih Selangor, B Sathianathan mengesahkan sedang mengintai seorang penyerang tempatan yang berpotensi bagi memperkuatkan jentera serangan skuad Red Giants musim depan.

Sathianathan menjelaskan setakat ini pihaknya dalam proses perbincangan bersama beberapa calon pemain untuk mengisi posisi itu bagi skuadnya tampil lebih lengkap dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Mungkin paling awal pun Selasa kita sudah tahu (selesaikan perbincangan). Kita kena ada satu penyerang tempatan kerana tidak boleh hanya bergantung kepada pemain import.

“Andai kata pemain import itu cedera, kita perlu cari seorang yang mampu untuk menggantikan tempatnya,” kata bekas pengendali FELDA United itu kepada Sukan NSTP.

“Kita cuba mengambil langkah awal, tapi bukan ramai penyerang yang ada potensi. Setakat ini ada dua atau tiga calon penyerang tempatan yang kita sedang berbincang.”

Sathianathan bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain yang sedang berbincang bersama Selangor itu dan hanya akan mengumumkan selepas selesai perbincangan.

Selain penyerang, bekas anak didiknya dari FELDA United FC, Farizal Harun juga dikhabarkan bakal berhijrah ke skuad Red Giants bagi mengisi posisi penjaga gol.

Malah, khabar angin itu semakin bertiup kencang dan difahamkan Red Giants sedang mengadakan perbincangan bersama Farizal namun belum sah menandatangani kontrak.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Sathianathan bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut tapi mengakui beliau juga sedang mencari seorang penjaga gol berpengalaman buat Red Giants.

“Saya kena ada seorang penjaga gol berpengalaman, sekarang kita ada Khairul Azhan Khalid, ia tidak cukup kerana jika apa-apa terjadi kepada dia, siapa yang akan ganti?

“Kita ada seorang lagi penjaga gol, Haziq (Ridwan) tapi dia terlalu muda. Saya mahukan penjaga gol berpengalaman yang boleh bersaing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 1:36 PM