IRFAN BAKTI ABU SALIM
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui kehilangan ‘ayam tambatannya’ Faiz Nasir dan Latiff Suhaimi tidak begitu dirasai skuad Penyu dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M ) musim depan.

Kehadiran beberapa muka baharu antaranya Ahmad Syamim Yahaya, Azalinullah Mohd Alias dan Khairu Azrin Khazali tidak kurang hebatnya dalam misi membantu naib juara Piala Malaysia itu merangkul sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim depan selepas gagal meraih sebarang trofi musim ini.

“Tiada perbezaan ketara skuad musim ini berbanding musim depan. Sebelum prestasi Faiz meningkat pemain itu tidak begitu dikenali kerana bola sepak bukannya permainan individu sebaliknya berpasukan.

“Oleh sebab itu kehilangannya (Faiz) tidak begitu dirasai kerana kami ada beberapa pemain yang mampu beraksi dengan baik khususnya berasal dari Terengganu dan akan dididik serta asah mereka sehingga benar-benar berkualiti,” katanya.

Sebelum ini, Faiz dan Latiff, dua pemain berasal dari Kelantan dilaporkan masih berminat untuk menyarung jersi TFC namun mengubah fikiran dan dikatakan bakal menyarung jersi Selangor musim depan.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti yang bakal memulakan musim baharu dengan melatih skuad Penyu itu pada 5 Disember ini menuntut pemain yang dipilih mempunyai semangat dan mentaliti sebagai pasukan juara.

“Selain itu saya ingatkan pemain perlu tampilkan komitmen dan jati diri yang tinggi terhadap pasukan TFC kerana mereka menyarung jersi Terengganu biarpun mereka datang daripada pelbagai negeri,” katanya.

Setakat ini senarai pemain TFC hampir penuh dan hanya menunggu seorang pemain dari negara Asia Tengah yang bakal tiba pada 15 Disember ini untuk melengkapkan kuota import selepas empat pemain musim ini iaitu Lee Tuck, Kipre Tchetche, Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 12:51 PM