MAURIZIO SARRI
Agensi

LONDON: Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri berkata Claudio Ranieri boleh ‘mencetus impak besar’ di Fulham selepas skuad kendaliannya dipaksa bergelut sebelum dapat merobek semangat juang tinggi lawan dan meraih kemenangan 2-0 di Stamford Bridge.

Ranieri dilantik jurulatih Fulham pada 14 November lalu selepas Slavisa Jokanovic dipecat dan pengendali dari Itali itu mengemudi pasukannya untuk mencatat kemenangan ke atas Southampton dalam penampilan pertamanya, dua minggu lalu.

Begitupun di sebalik persembahan meyakinkan terutama pada babak kedua, Fulham yang dikenali Cottagers gagal untuk memecah tembok pertahanan Chelsea dan tumbang menerusi gol Pedro dan Ruben Loftus-Cheek pada kedua-dua babak permainan.

“Hari ini adalah mengenai keputusan, kami memberikan segala tumpuan terhadap pertahanan untuk meraih kemenangan,” kata Sarri. “Kini kami perlu mula meningkat dan bermain dengan corak permainan kami dengan cara lebih baik.

“Ranieri boleh memberikan impak yang hebat di Fulham, dalam tempoh dua ke tiga minggu, mereka bertahan dengan baik dan dalam masa sebulan, bermain menentang mereka akan mencetuskan masalah buat mana-mana pasukan.”

Chelsea memperoleh gol pembukaan apabila Pedro memanfaat sepenuhnya hantaran N'Golo Kante dan boleh menambah beberapa lagi jaringan pada babak pertama jika penjaga gol Fulham, Sergio Rico tidak beraksi cemerlang dengan menafikan dua cubaan Olivier Giroud.

Fulham hampir menyamakan kedudukan pada babak kedua ketika gerakan Chelsea tampak terganggu tetapi pemain gol daripada pemain gantian, Loftus-Cheek memastikan kemenangan Blues yang berpunca daripada gerakan dimulakan Eden Hazard dan Pedro.

Kekalahan menyaksikan Fulham kekal di kedudukan tercorot liga selepas hanya mengutip satu mata daripada daripada 24 mata yang ditawarkan di gelanggang lawan, musim ini.

Ranieri yang sebelum ini mengendalikan Chelsea di antara musim 2000 hingga 2004 percaya pasukannya sepatutnya meraih satu mata.

“Kami mahu bermain corak permainan kami tetapi kami melakukan kesilapan menentang pasukan yang besar jadi kamu membayar atas kesalahan itu,” kata Ranieri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 8:38 AM