RAFIQ bersyukur sertai skuad istimewa. FOTO/NSTP
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my

 

KUALA LUMPUR: Pada suatu ketika, tidak ramai yakin dengan skuad muda istimewa Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC).

Bagaimanapun ia terhakis selepas Rafiq Ismail membalas kritikan dengan memenangi emas acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Lelaki Dunia di Hong Kong semalam.

Pada final berdepan wakil Kanada, Dan Maclelland, pemain berusia 21 tahun itu - produk skuad istimewa 2011 itu - menamatkan penantian 39 tahun Malaysia untuk kilauan emas apabila menang 217-204.

Rafiq mengakui ia bukanlah mudah apabila mula bersama skuad pembangunan, namun ia kini membuahkan hasil.

"Pada ketika itu tidak ramai yang percaya pada skuad istimewa. Orang memandang rendah skuad berkenaan tetapi jika tidak kerana itu, saya tidak akan berdiri di sini," kata Rafiq.

"Saya tidak pernah menjangkakan akan menang gelaran ini walaupun menjadi juara dunia memang sesuatu yang diidamkan.

"Jurulatih Holloway (Cheah) dan Ben (Heng) memainkan peranan penting di belakang kejayaan saya, selain ibu-bapa dan MTBC.

"Dan akhir sekali, saya juga mesti katakan dengan menjadi sebahagian daripada Program Podium ia memang meningkatkan standard permainan saya."

Rafiq yang menyertai skuad istimewa pada usia 14 tahun, memastikan namanya tersenarai dalam skuad elit pada 2013, tahun yang sama dia membuat kemunculan pada kejohanan dunia di Las Vegas.

Selepas terpilih ke Program Podium dua tahun lalu, Rafiq meraih emas pada Kejuaraan Masters Asia, juga di Hong Kong.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu juga menyinar pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Asia tahun ini, menang empat emas secara keseluruhan sebelum menjadi pemain Malaysia pertama bermain di Terbuka Amerika Syarikat.

Rafiq juga menjadi tumpuan apabila disenarai pendek sebagai Pemain Muda Tahunan Terbaik US PBA selepas aksi cemerlang dalam Jelajah PBA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:01 PM