MOHD ASRI NINGGAL
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

MELAKA: Tiga jurulatih berpengalaman - Nidzam Adha Yusoff, Asri Ninggal dan Mazlan Wahid bakal membantu ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan memacu kecemerlangan Melaka United (MU) bagi saingan Liga Malaysia musim 2019.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United ( MUSA) Farhan Ibrahim berkata, Nidzam yang juga bekas jurulatih Kedah dan Asri yang melatih skuad Negeri Sembilan musim ini diikat semusim membantu Zainal.

Katanya, Mazlan yang juga bekas penjaga gol kebangsaan pula bakal menjadi pembimbing di posisi berkenaan sekali gus membentuk gabungan barisan kejurulatihan terbaik bersama Zainal.

“Dengan barisan kejurulatihan baharu yang memiliki pengalaman luas sebagai pemain dan pengendali untuk semua posisi mampu meletakkan pasukan ini sebagai skuad cemerlang.

“Berdasarkan rekod baik jurulatih terbabit kami yakin mereka bakal merencana dan menyediakan pasukan berwajah baru yang efektif untuk bersaing, katanya.

Menurutnya, gandingan terbabit juga diyakini mampu meletakkan pasukan Hang Tuah sekurang -kurangnya meraih kedudukan lima terbaik di pentas liga Super.

Farhan berkata, Ketua Menteri Melaka yang juga presiden MUSA, Adly Zahari turut mengharapkan sekurang-kurangnya satu piala sama ada Piala Malaysia, Piala FA atau juara liga mampu menjadi milik pasukan.

Sehubungan itu, ianya pastinya menjadi cabaran buat barisan kejurulatihan dan pemain skuad berkenaan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 12:54 PM