GNABRY (kanan) jaring gol pertama Bayern. -Foto Reuters
AFP

BREMEN: Bayern Munich meraih kemenangan pertama Bundesliga dalam tempoh sebulan selepas Serge Gnabry meledak dua gol untuk membenam Werder Bremen 2-1, semalam.

Begitupun, keputusan itu tidak banyak mengubah situasi dengan penyandang juara Jerman itu kekal ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund.

Bayern meneruskan prestasi baik pada pertengahan minggu ini selepas membelasah Benfica 5-1 dalam kempen Liga Juara-Juara tetapi jurang mereka dengan Dortmund yang turut menang 2-0 ke atas Freiburg masih jauh.

“Saya benar-benar suka dengan persembahan kami, satu-satunya perkara yang tidak saya gemar ialah peluang yang kami sia-siakan,” kata jurulatih Bayern, Niko Kovac.

“Kami bertahan dengan amat pasif, terutama selepas 10 minit kami mendahului. Ia bagus kerana kami kini mempunyai tempoh seminggu untuk bersedia bagi menghadapi perlawanan berikutnya.”

Kali terakhir Bayern tertinggal begitu jauh daripada pendahulu liga ialah pada musim 2010/11 apabila Dortmund menjulang kejuaraan dengan peluang mereka untuk mengekalkan kejuaraan Bundesliga buat musim ketujuh berturut-turut dalam bahaya selepas hanya meraih tiga kemenangan daripada sembilan perlawanan liga.

Di Dortmund, Paco Alcacer meneruskan ketajamannya di depan gawang apabila meledak gol ke-10 miliknya musim ini sekali gus menjadi penjaring gol terbanyak liga.

Dortmund mendahului apabila pemain muda England,  Jadon Sancho dijatuhkan di kawasan penalti dengan Marco Reus menyempurnakannya lima minit sebelum babak pertama berakhir.

Alcacer yang tampil selaku pemain gantian pada minit ke-70 menambah gol kedua pasukan masa kecederaan berpunca daripada gerakan menarik Sancho dan Lukasz Piszczek.

“Adalah logik yang perlawanan ini akan memberi kesukaran buat kami kerana Freiburg meraih mata (menentang Bayern) di Munich,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:55 AM
Skip this ad x