MULAI musim depan Force India akan dikenali sebagai Racing Point F1. -Foto Reuters

LONDON: Nama Force India akan lenyap daripada saingan Formula Satu (F1) musim depan selepas 11 tahun beraksi, apabila pasukan berpangkalan di Britian itu menggunakan nama baharu, Racing Point F1.

Pengumuman terkini itu dikeluarkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), hari ini.

Jentera baharu akan mengguna nama Racing Point, dengan nama pasukan pula ialah Racing Point UK Limited.

Pasukan itu sebelum ini dikenali sebagai Force India pada 2008, selepas ahli perniagaan dari India, Vijay Mallya membeli Spyker F1 dan pada Ogos lalu, jutawan Kanada, Lawrence Stroll mengambil alih pasukan berkenaan.

Pada separuh aksi musim ini pasukan berkenaan dikenali sebagai Racing Point Force India untuk membezakan mereka dengan pasukan Sahara Force India yang dimiliki secara bersama oleh Mallya dan Kumpulan Sahara India.

Pemandu untuk pasukan berkenaan pada musim depan ialah, Sergio Perez dari Mexico dan anak Stroll, Lance.

Pasukan rasmi Ferrari juga menukar nama kepada Scuderia Ferrari Mission Winnow dan Haas pula akan dikenali sebagai Rich Energy Haas F1 selepas mempunyai kaitan dengan penajaan.

Senarai pasukan 2019 juga menyaksikan juara Formula Dua, George Russell akan mewakili Williams dengan menggunakan nombor 63, manakala pelumba rookie McLaren, Lando Norris memilih nombor empat.

Pelumba Poland, Robert Kubica, kembali selepas lapan tahun berehat berikutan terbabit dalam kemalangan perlumbaan rali yang hampir mengorbankan nyawanya pada 2011 dan dia akan menggunakan nombor 88 dengan pasukan Williams.

Alexander Albon dari Thailand, akan membuat penampilan sulung dalam perlumbaan ini, namun setakat ini masih belum mempunyai sebarang nombor. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 12:02 PM