ODOI puas ledak gol pertama. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Pemain muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi berkata dia seperti ‘sedang bermimpi’ apabila meledak gol pertamanya bersama kelab itu ketika kemenangan besar 4-0, ke atas PAOK dalam kancah Liga Europa, pagi tadi.

Bertemu PAOK, pemain sayap remaja England itu diletakkan dalam kesebelasan utama Chelsea buat pertama kali oleh pengurus, Maurizio Sarri.

Kepercayaan itu dibayar dengan gol, selain umpanan yang menyaksikan kelab Inggeris itu meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam Kumpulan L.

Chelsea membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi Olivier Giroud, 20 minit selepas PAOK beraksi 10 pemain, susulan layangan kad merah kepada pemainnya, Yevhen Khacheridi.

Giroud yang juga pemain Perancis menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-37, diikuti jaringan Hudson-Odoi pada minit ke-70, sebelum dia melakukan umpanan untuk jaringan Alvaro Morata pada minit ke-78.

“Saya hampir tidak mempercayainya,” kata pemain skuad remaja England berusia 18 tahun itu.

“Saya diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama hari ini dan saya bercakap kepada diri saya, ‘Kamu tahu, hari ini mungkin harinya.’

“Setiap kali saya mendapat bola, saya hanya mahu melakukan seperti biasa, melakukannya dengan mudah, tetapi dengan gaya saya, dan sejurus saya mendapat gol, saya hampir tidak mempercayainya.

“Selepas saya melihat penyokong bersorak, baru saya menyedari ia adalah gol dan saya sebenarnya menjaringkan gol pertama saya untuk kelab,” katanya dengan aksi di Stamford Bridge itu turut disaksikan pengurus England, Gareth Southgate dan pembantunya, Steve Holland.

Sarri dalam pada itu menggesa Hudson-Odoi untuk terus meningkat jika dia mahu menjadi pemain terbaik di Eropah.

“Dia bermain dengan amat baik, tetapi perlawanan seperti ini adalah untuknya. Saya mahu melihatnya dalam perlawanan di mana kami juga mahu dia berada dalam fasa pertahanan,” kata Sarri.

“Saya tidak tahu sama ada dia sudah bersedia untuk Liga Perdana Inggeris pada usia 18 tahun, terutama dengan pasukan besar.

“Jika dia sudah bersedia sekarang untuk melakukan perubahan bersama pasukan seperti Chelsea, jadi dia akan menjadi pemain terbaik di Eropah dalam tempoh dua tahun.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 12:36 PM