PEMAIN Everton teruja hadapi aksi ‘derby Merseyside’. FOTO Agensi
Reuters

LONDON: Peningkatan prestasi Everton sejak kebelakangan ini meningkatkan keyakinan mereka menjelang pertembungan dengan Liverpool dalam aksi Liga Perdana pada Ahad ini, menurut pemain tengah, Gylfi Sigurdsson.

Pemain antarabangsa Iceland, Sigurdsson menjaringkan gol kemenangan ke atas Cardiff City 1-0 Sabtu lalu sekali gus perlawanan ketiga mereka berturut-turut tanpa kalah dan melonjak ke tangga keenam dengan 22 mata.

"Saya fikir semua pemain teruja menghadapi aksi ‘derby Merseyside’ ini sejak permulaan musim dan perasaan itu meluap-luap seiring dengan peningkatan prestasi kami sejak akhir-akhir ini,” kata Sigurdsson dalam laman web kelab.

Kemenangan ke atas Cardiff diraih selepas mempamerkan kesungguhan dengan mengekang Chelsea tanpa jaringan di Stamford Bridge, awal bulan ini.

"Keyakinan kami bertambah selepas apa yang dipamerkan di Chelsea. Ia keputusan yang bagus,” kata Sigurdsson yang menjaringkan enam gol musim ini.

Bagi Liverpool pula pertembungan dengan jiran setempat itu adalah yang ke-232 dan pastinya mereka mahu bangkit selepas tewas 2-1 kepada Paris St Germain dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Skuad Juergen Klopp belum tewas dalam liga dan menduduki tangga kedua dengan 33 mata, dua mata di belakang pendahulu Manchester City. Mereka tidak pernah tewas kepada Everton di Anfield sejak 1999.

"Ahad ini adalah perlawanan besar bagi kami dan kami sedia hadapi cabaran itu,” kata Sigurdsson. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 9:23 PM