FAIZ (kanan) dikatakan hampir sertai Selangor pada musim depan. FOTO/NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


KUALA TERENGGANU: Bekas tonggak Terengganu FC (TFC), Latiff Suhaimi dan Faiz Nasir hampir pasti menyarung jersi Selangor selepas rundingan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berakhir dengan positif.

Bagaimanapun pengesahan muktamad sama ada pemain kelahiran Kelantan itu akan sah menyarung jersi skuad The Red Giants atau sebaliknya akan diketahui awal Disember ini.

"Selagi belum diumumkan oleh FAS, saya dan Faiz tidak berani untuk mengesahkan sama ada sudah menjadi milik skuad itu atau sebaliknya.

"Mungkin awal Disember ini keputusan sebenar akan diketahui, lebih-lebih lagi kerana kami masih mempunyai baki kontrak bersama TFC sehingga akhir bulan ini. Jadi saya perlu hormatinya," kata Latiff kepada Sukan NSTP.

Sebelum ini, dua tonggak yang membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia 2018 itu dikatakan dipancing skuad Melaka United dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Namun dengan perkhabaran terkini itu, dua pemain itu yang sebelum ini dikatakan masih berminat untuk kekal bersama TFC kini sebelah kaki berada dalam skuad kendalian B Sathianathan itu.

"Secara jujur saya masih berminat untuk beraksi bersama TFC walaupun mendapat tawaran dari Melaka, Selangor dan bekas pasukan, FELDA United, tetapi mungkin rezeki saya tidak bersama skuad Penyu itu.

"Jadi, saya memohon maaf dan berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) termasuk barisan kejurulatihan serta peminat yang sentiasa menyokong saya selama dua musim bersama TFC," kata Latiff.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 12:22 PM