PENYERANG Malaysia, Shahrel Fikri Fauzi (tengah). FOTO AFP
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


NILAI: Penyerang Harimau Malaya, Shahrel Fikri yakin pengalamannya beraksi di liga utama Thailand mampu membantunya berhadapan barisan pertahanan lawan yang akan ditemui pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Shahrel yang beraksi bersama kelab Nakhon Ratchasima mengakui sudah berkongsi beberapa maklumat tentang pemain skuad Gajah Perang dengan Tan Cheng Hoe bagi memudahkan pengendali skuad negara itu menyusun strategi terbaik apabila menentang pasukan juara bertahan berkenaan.

Antara maklumat yang dikongsi adalah mengenai kelemahan benteng Thailand yang dikemudi ketua pasukan, Chalermpong Kerdkaew yang juga kapten Nakhon Ratchasima.

Katanya, Chalermpong seorang tonggak pertahanan yang bijak membaca rentak permainan namun tidak memiliki kepantasan apabila berhadapan penyerang yang laju dan itu boleh digunakan oleh rangkaian serangan negara diketuai Zaquan Adha Abd. Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh.

"Ketua pasukan Thailand adalah ketua pasukan saya di kelab. Bagi saya, dia memang pemain yang terbaik sebab itu dipilih sebagai ketua pasukan, namun saya tahu sedikit sebanyak kelemahan dia.

"Umur dia dalam 30 tahun ke atas dan kekurangan dia adalah tak begitu pantas tapi dia bagus dalam membaca permainan. Itu antara maklumat yang dapat saya kongsikan dengan jurulatih," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Padang A Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Malaysia yang muncul juara Piala AFF pada 2010 bakal berdepan ujian getir di peringkat separuh akhir bagi edisi kali ini apabila dijadualkan berdepan pasukan di ranking ke 121 dunia, Thailand berbanding Harimau Malaya di tangga ke-169.

Anak buah Cheng Hoe mara dalam kelompok empat pasukan terbaik itu selepas muncul naib juara Kumpulan A di belakang Vietnam manakala juara lima kali Piala AFF itu pula menamatkan kedudukan selaku juara Kumpulan B di depan Filipina.

Jelas Shahrel lagi, jentera serangan Thailand bukan saja pantas malah mereka cukup agresif ketika menyerang.

"Bagi saya pengalaman bermain dengan pasukan di Thailand memang berbeza sebab permainan mereka cukup pantas dan agresif. Saya harap rakan dapat memberi kerjasama dalam permainan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 7:31 PM