OZIL terpaksa diketepikan. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Unai Emery bersedia untuk mengambil risiko tidak menyenaraikan Mesut Ozil bagi perlawanan di luar laman Arsenal - satu percaturan yang mengurangkan peranan pemain Jerman itu di dalam kelab.

Ozil diketepikan ketika menewaskan Bournemouth 2-1 Ahad lalu, dengan Emery menggambarkan kebimbangan pemain tengah berusia 30 tahun itu mungkin bergelut menyesuaikan diri dengan pertarungan fizikal dalam aksi sengit.

Pengurus Arsenal itu bercadang meletakkan Ozil di bangkit simpanan untuk aksi lain di luar laman sendiri yang difikirkannya memerlukan daya fizikal dan usaha gigih yang lebih tinggi.

Dengan itu, pemain yang menerima bayaran 350,000 pound (RM1.8 juta) seminggu itu tidak lagi dijamin berada dalam kesebalasan utama dan ia jelas sesuatu di luar jangkaan ketika era Arsene Wenger.

Emery dikatakan kecewa dengan prestasi Ozil ketika kelab terikat 2-2 dengan Crystal Palace, awal bulan ini.

Bagaimanapun, Emery masih memikirkan Ozil sebagai tonggak skuadnya dan dengan status sebagai pemain yang menerima bayaran paling lumayan di kelab, pengurus itu sedar impak tidak memasukkan Ozil dalam kesebelasan utama.

Namun Emery sudah membuktikan, sejak ketibaannya di utara London pada musim panas lalu, beliau akan membuat kata putus bagi mendapatkan keputusan berdasarkan satu demi satu perlawanan.

Beliau juga mahu memberi perhatian kepada kekuatan lawan berbanding perlawanan sebelumnya.

Situasi itu mungkin kekal untuk melihat sama ada Ozil bakal diturunkan atau sebaliknya untuk aksi tetangga menentang Tottenham, Ahad ini atau menentang Vorskla Poltava pada saingan Liga Europa, Khamis ini.

Biarpun sudah pun layak ke pusingan kalah mati, Emeru cenderung untuk membawa skuad paling kuat ke Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 2:58 PM