KHABIB pada sidang media. FOTO/RT
AFP

MOSCOW: Juara bertahan lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov membayangkan pertarungannya dengan Floyd Mayweather Jr. akan menjadi lebih menarik berbanding ketika lawannya dari Amerika Syarikat itu berdepan Conor McGregor.

"Pertarungan kami akan menjadi dua kali ganda lebih menarik. Dua lawan yang belum ditewaskan, ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk ditonton.

“Akan ada yang jatuh atau mengundur,” katanya dalam satu sidang media di Moscow untuk melancarkan autobiografinya.

Petinju dari Russia yang dikenali sebagai 'Khabib' itu 'menyeru' nama petinju yang belum pernah tewas, Mayweather pada Oktober lalu - sebagai pencabar seterusnya selepas dia menumbangkan McGregor.

Namun, presiden UFC, Dana White berkata, kedua-dua mereka hanya boleh beraksi dalam pertarungan seni tempur campuran, dan bukannya di dalam gelanggang tinju seperti ketika Mayweather menentang McGregor.

Mayweather menewaskan petinju dari Ireland itu dengan knock-out (KO) selepas 10 pusingan pada Ogos 2017.

Khabib pula tidak pernah tewas dalam 27 saingan UFC termasuk ketika menentang McGregor, pada Oktober lalu.

Kedua-dua petinju itu (McGregor dan Khabib) kini sedang menjalani penggantungan atas arahan Suruhanjaya Atlet Nevada (NSAC), kerana berlakunya satu pergaduhan selepas pertarungan UFC 229 di Las Vegas.

NSAC kini mengadakan satu sesi pendengaran disiplin ke atas Khabib dan McGregor pada 10 Disember ini sebelum mereka dibenarkan bertarung semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 8:32 AM