PEMANDU Poland, Robert Kubica. FOTO AFP
AFP

ABU DHABI: Pemandu Poland, Robert Kubica menyatakan “sesuatu yang hampir mustahil” menjadi kenyataan selepas mengumumkan dia akan kembali ke kancah Formula Satu bersama pasukan Williams pada 2019, lapan tahun selepas dia cedera teruk dalam nahas perlumbaan rali.

Kubica, yang tidak bertanding dalam Grand Prix sejak kemalangan pada 2011, menyertai pemandu England, George Russell di Williams.

Pelumba Poland berusia 33 tahun itu menjalani beberapa siri sesi latihan sebagai pemandu simpanan Williams tahun ini dan kembalinya ke sukan itu diumumkan di Abu Dhabi, gelanggang perlumbaan terakhirnya pada 2010.

Kubica berkata: “Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang membantu saya dalam tempoh sukar kehidupan saya sejak beberapa tahun lalu.

“Ia satu perjalanan mencabar untuk kembali ke grid F1 tapi apa yang dilihat sesuatu yang mustahil kini menjadi satu kemungkinan dan saya teruja menyatakan saya akan berada di grid F1 pada 2019.”

Kubica menyedari dia menyertai Williams selepas pasukan itu mengharungi satu daripada musim terburuk mereka dalam sejarah.

“Ia tidak mudah tapi dengan kerja keras dan dedikasi, kedua-dua George dan saya akan bekerjasama untuk cuba membantu pasukan bertindak baik di grid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 12:31 AM