PEMAIN negara, Ng Eain Yow (kiri) kecundang 10-12, 4-11, 4-11 sekali gus menamatkan kempen pemain negara pada kejohanan itu. FOTO Yazit Razali
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Cabaran pemain negara Ng Eain Yow pada kejohanan Terbuka Hong Kong yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$164,500 (RM689,000) berakhir pada pusingan ketiga hari ini.

Pemain berbakat berusia 20 tahun itu bertindak baik pada awal perlawanan menentang pilihan ketujuh Mohamed Abouelghar dari Mesir namun kecundang 10-12, 4-11, 4-11 sekali gus menamatkan kempen pemain negara pada kejohanan itu.

Eain Yow bagaimanapun boleh berbangga kerana ia pencapaian terbaik buatnya setakat ini pada kejohanan bertaraf platinum dalam Jelajah PSA. Ia juga kali pertama dia bertemu pemain nombor 10 dunia dari Mesir itu.

“Saya berpeluang pada set pertama dan berasakan ia amat penting. Malangnya saya gagal menggunakan peluang itu,” kata Eain Yow ketika dihubungi hari ini.

“Dia (Mohamed) bermain dengan amat bagus dan memaksa saya banyak berlari.

“Secara keseluruhan, saya fikir saya bermain dengan bagus tapi saya perlukan lebih banyak pengalaman menentang pemain ternama dalam usaha untuk meningkat.”

Eain Yow, yang kini menghuni ranking ke-45 dunia, menundukkan pemain England, Ben Coleman dan Joshua Masters pada pusingan pertama dan kedua.

Terdahulu Nafiizwan Adnan tewas pada pusingan kedua begitu juga Datuk Nicol David dalam kategori wanita. S Sivasangari, Low Wee Wern dan Rachel Arnold semuanya kalah pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 8:49 PM