O’NELL letak jawatan selepas lima tahun bersama Ireland. FOTO/AGENSI
AFP

DUBLIN: Pengurus Ireland, Martin O'Neill meletak jawatan selepas lima tahun mengendalikan pasukan itu ekoran prestasi buruk yang menyaksikan Ireland tersingkir ke peringkat lebih rendah dalam Liga Negara-Negara Eropah.

Bekas pengurus Celtic dan Leicester itu yang menggantikan Giovanni Trapattoni pada November 2013 mengambil keputusan dengan persetujuan bersama dan penolong pengurus Roy Keane turut berpisah dengan Persatuan Bolasepak Ireland (FAI).

O'Neill membawa Ireland ke saingan 16 terakhir Euro 2016 dan sepanjang 55 perlawanan kendaliannya, beliau berjaya mencatat kejayaan mengejut ke atas Jerman dan Itali.

Beliau juga membawa pasukannya layak ke aksi playoff Piala Dunia 2018 di Russia.

"Saya mewakili FAI berterima kasih kepada Martin, Roy dan pengurusan di atas kegigihan mereka memperkasakan cabaran pasukan sepanjang lima tahun ini,” kata Presiden FAI, Donal Conway.

"Martin mencetuskan kegembiraan di Stadium Aviva dan jalan-jalan di Lille, Vienna, Cardiff sekali gus membanggakan bola sepak Ireland.”

O'Neill pula berkata, dia berbesar hati dan bangga sepanjang mengendalikan Ireland dan menyanjungi sumbangan Keane yang dianggapnya legenda yang mencetuskan inspirasi kepada dunia bola sepak.

Walaupun mencapai beberapa kejayaan hebat, skuad O'Neill mengalami kemerosoton tahun ini. Mereka hanya menang satu daripada sembilan perlawanan iaitu menewaskan Amerika Syarikat pada Jun.

Mereka hanya mampu seri 0-0 menentang Denmark di Aarhus pada Isnin lalu.

Ireland turut mengalami kemarau jaringan dan gagal menembusi gawang lawan sejak 11 September.

FAI berkata mereka kini dalam proses mencari pengurus baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 9:19 AM