Bekas juara dunia Fernando Alonso dan Kimi Raikkonen ucap selamat tinggal kepada pasukan masing-masing. FOTO Agensi

Reuters

LONDON: Bekas juara dunia Fernando Alonso dan Kimi Raikkonen akan mengucapkan selamat berpisah di bawah lampu limpah Abu Dhabi hujung minggu ini, pemandu Sepanyol itu kepada Formula Satu manakala pemandu Finland itu kepada Ferrari.

Dengan kedua-dua kejuaraan dimenangi Mercedes dan Lewis Hamilton, masing-masing meraikan kejayaan kelima, fokus pada perlumbaan terakhir musim ini beralih kepada pemandu yang berpindah - sekalipun jika sekadar di sekitar paddock.

Ucapan Raikkonen tidak mungkin terlalu panjang atau beremosi, juara 2007 dari Ferrari itu secara umumnya lebih suka kurang bercakap namun pelumba berusia 39 tahun itu akan kembali bersama Sauber tahun depan.

Ahad ini secara realistiknya peluang terbaik pemandu Finland itu untuk memburu kemenangan dan kejayaan di Yas Marina akan menjadi yang pertama buat Ferrari yang tidak menang sembilan edisi perlumbaan terdahulu di litar yang tidak kurang mencabar.

Pemergian Alonso - yang diumumkan Ogos lalu dan banyak diperkatakan sejak itu - dijangka secara kekal kali ini dan ketiadaannya akan dirasai sekalipun dia hanya mampu meraih beberapa mata bersama McLaren akhir-akhir ini.

Juara dunia dua kali itu mungkin boleh menambah kejuaraan jika memiliki faktor tuah dan perpindahan yang tepat namun dia masih mampu menjadi pencabar sekalipun memandu kereta yang kurang kompetitif.

“Saya menang lebih banyak perlumbaan daripada apa yang saya impikan apabila saya hadir di sini dan karier saya sudah disempurnakan, ia satu kejayaan,” kata pemandu berusia 37 tahun itu.

“Saya sudah memenuhi impian ini. Saya perlu mencari satu lagi impian dan memenuhinya.”

Pemenang 32 perlumbaan Grand Prix, termasuk dua kali di Monaco, Alonso memenangi perlumbaan 24 Jam Le Mans tahun ini bersama Toyota dan kini menyasarkan Indianapolis 500 bersama McLaren untuk melengkapkan ‘tiga mahkota sukan permotoran’.

Rakan sepasukannya di McLaren, Stoffel Vandoorne turut melangkah pergi, memulakan karier baru dalam siri Formula E, manakala Marcus Ericsson akan beralih kepada IndyCar selepas mengosongkan tempatnya di Sauber.

Pelumba dari Monaco, Charles Leclerc berlumba buat kali terakhir bersama Sauber sebelum menyertai Ferrari sebagai pengganti Raikkonen di samping Sebastian Vettel. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 7:08 PM