PENYERANG Brazil, Neymar terjatuh selepas diterjah pemain Uruguay pada aksi persahabatan di London. FOTO AFP
Agensi

LONDON: Keputusan Neymar meninggalkan Barcelona adalah ‘dosa besar’, kata legenda Belanda, Clarence Seedorf sambil menegaskan bintang Brazil itu perlu kembali ke Nou Camp atau menyertai Real Madrid.

Neymar yang dianggap salah seorang pemain terbaik dunia bertindak meninggalkan kelab gergasi La Liga itu pada musim panas 2017 untuk menyertai juara Perancis, Paris Saint-Germain dengan perjanjian bertaraf mega AS$254 juta (RM1.63 bilion).

Dipercayai keputusan pemain itu kerana dia ingin ‘melepaskan diri’ daripada bayangan Lionel Messi untuk mengukir namanya tetapi Seedorf percaya bintang berusia 26 tahun itu memerlukan bakat bertaraf dunia di sampingnya.

Neymar beraksi bersama ramai pemain bertaraf dunia di PSG termasuk juara dunia, Kylian Mbappe tetapi sebagai pemain tonggak, segala tindak tanduknya hampir tidak boleh disentuh.

Justeru, Seedorf yang pernah menyarung jersi Real percaya persekitaran itu tidak bagus buat Neymar dan dia perlu kembali ke Sepanyol.

“Bakat Neymar tidak boleh dipertikaikan, tapi dia memerlukan skuad yang boleh membantunya berkembang dalam usaha menjadi yang terbaik kerana dia tidak mampu mencapainya berseorangan.

“Sejujurnya saya percaya dengan meninggalkan Barcelona terlalu pantas, ia satu dosa besar yang dilakukannya. Jika dia kekal di kelab itu untuk tempoh dua musim lagi, perkara boleh berlaku sebaliknya.

“Tapi dia kini di PSG dan itu laluan yang perlu diikutinya. Neymar juga memerlukan pengurus yang boleh memberikan kepadanya apa yang dia mahukan, kerana dia masih muda dan belum begitu lama beraksi di Eropah.

“Dia juga perlu bermain dengan pemain yang lebih baik daripadanya. Saya tidak bercakap mengenai pemain yang mencabarnya dari sudut kualiti sebagai pemain bola sepak, tapi orang yang sudah memenangi gelaran lebih besar berbandingnya.

“Pemain seperti ini boleh mengajarnya mengenai perbezaan mengenai pengalaman dan mereka juga boleh mengajarnya erti hormat.”

Barcelona dikatakan tidak menutup pintu buat Neymar untuk kembali ke Nou Camp manakala Real tidak bersembunyi mereka berminat terhadap pemain yang sesuai dengan kualiti di Santiago Bernabeu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 8:24 PM