HERVE PONCHARAL
Fadhli Ishak
fadhli.ishak@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Ketua pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal memuji prestasi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang dapat menyesuaikan diri dengan situasi mencabar.

Poncharal berkata, Hafizh dapat mengawal situasi perlumbaan terakhir di Valencia yang terpaksa dimulakan semula berikutan hujan lebat dengan baik selain optimis dengan masa depan pelumba berbakat itu bersama pasukannya.

Hafizh menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 yang menyaksikan beberapa pelumba terjatuh.

Dia menamatkan saingan musim ini dengan muncul pelumba rookie (muka baharu) kedua terbaik apabila mengumpul 46 mata.

“Hafizh melalui minggu yang sukar kerana dia tidak pernah menunggang jentera MotoGP dengan menggunakan tayar Michelin dalam keadaan litar basah. Pastinya ia satu lagi pembelajaran untuknya.


HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH

“Bagaimanapun penamat ke-10 mungkin bukanlah keputusan yang diinginkan olehnya mengambil kira keputusan positif bermula daripada sesi latihan pertama.

“Cara dia memperbaiki tunggangannya dengan penunggang di barisan depan sangat menakjubkan.

“Jelas sekali dia mempunyai keistimewaan apabila beraksi dalam litar basah. Pengalamannya beraksi dalam situasi sama di Moto2 kini dibuktikan pula pada saingan MotoGP.

“Saya juga gembira apabila dia sendiri dapat saksikan jentera KTM yang akan digunakan musim depan sangat bagus ketika litar basah,” katanya.

Dua pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pol Espargaro dan Bradley Smith beraksi cemerlang apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan kelapan di Valencia.

Selepas 20 musim bersama Yamaha, Tech3 akan beralih menggunakan jentera KTM tahun depan.

Hafizh pada awal tahun ini menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama Tech3 yang akan menyaksikannya beraksi di kelas tertinggi itu sehingga hujung musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 4:46 PM