JOE Gomez dan Kyle Walker meraikan kemenangan England. FOTO Reuters
Reuters

ENGLAND mencipta kebangkitan selepas ketinggalan untuk menewaskan Croatia 2-1 di Wembley, London, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah, hari ini.

Pengurus Gareth Southgate membuat lapan pertukaran daripada skuad yang mengalahkan Amerika Syarikat pada Khamis lalu dalam misi England mencari kemenangan untuk menjuarai Kumpulan A4.

Kekalahan atau seri bakal menyaksikan skuad The Three Lions tersingkir ke liga kedua.

England bermula garang dengan Raheem Sterling dan Harry Kane beberapa kali berpeluang untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada babak pertama menentang pemain Croatia yang nampak keletihan.

Namun 12 minit separuh masa kedua bersambung, England ketinggalan selepas penyerang Croatia Andrej Kramaric menggelecek pertahanan England John Stone sebelum melepaskan rembatan terkena Eric Dier yang mengelirukan penjaga gol Jordan Pickford.

England bagaimanapun tetap tidak mengalah sebaliknya terus mengasak sebaik kemasukan pemain gantian Dele Alli dan Jadon Sancho.

Ketika situasi kelam kabut di dalam kotak penalti, Jesse Lingard pantas menolak masuk bola untuk gol penyamaan England pada minit ke-78.

Lima minit sebelum permainan sebenar tamat, kapten pasukan Kane mencuri tumpuan dengan meledak gol antarabangsa ke-20 bagi memastikan kemenangan England dan menyingkirkan Croatia.

Tiga mata yang diraih itu membolehkan England menamatkan kempen di tangga teratas dengan tujuh mata diikuti Sepanyol enam mata dan Croatia empat mata.- Reuters

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 12:50 AM