Pemain Vietnam Phan Van Duc (tengah) bersaing dengan pemain tengah Malaysia Syahmi Safari (kiri) pada aksi di Hanoi. FOTO AFP)
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my


HANOI: Rekod bersih yang cuba dipertahankan Harimau Malaya pada kempen Piala AFF 2018 tercalar apabila tewas 0-2 kepada pasukan pilihan, Vietnam malam tadi.


Pemain pertahanan Vietnam Tran Dinh Trong (kiri) bersaing dengan penyerang Malaysia, Shahrel Fikri Fauzi. FOTO AFP

Dua gol pasukan tuan rumah pada setiap babak dalam aksi di Stadium Nasional My Dinh memusnahkan impian skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk melangkah awal ke separuh akhir.

Malaysia yang juga juara edisi 2010 kini hanya mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kemboja serta Laos dan terpaksa menunggu perlawanan terakhir dengan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November untuk mengesahkan slot ke pusingan seterusnya.

Skuad Harimau Malaya bertandang ke Hanoi dengan misi mengulangi detik cemerlang menewaskan Vietnam 4-2 pada separuh akhir kedua edisi 2014 untuk mara ke final  menerusi agregat 5-4.

Sedar dengan reputasi hebat pasukan tuan rumah di ranking ke-102 dunia, Cheng Hoe melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Shahrel Fikri Md Fauzi, Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid bagi menguatkan jentera serangan manakala Syamer Kutty Abba bertahan di bahagian tengah.

Ia tidak berjalan seperti yang dijangkakan apabila Malaysia lebih banyak menguasai bola manakala pasukan tuan rumah, juara 2008 lebih banyak bertahan pada babak pertama.

Vietnam hampir dikejutkan dengan serangan awal Malaysia apabila pemain sayap naturalisasi Sumareh berjaya meloloskan diri di bahagian kanan namun bola hantaran lintang ke dalam kotak penalti gagal disambar rakan sepasukan.

Namun hanya satu gerakan bahaya skuad The Golden Dragons berjaya menggamatkan 40,000 penyokong apabila ‘Messi Vietnam’ Nguyen Cong Phuong yang tidak dikawal berjaya menolak masuk bola menewaskan kapten Khairul Fahmi Che Mat di gawang pada minit ke-12.

Skrip sama berulang pada separuh masa kedua apabila skuad negara mendominasi permainan namun buntu untuk memecahkan benteng Vietnam.

Selepas menyaksikan sepakan percuma pemain gantian Safawi Rasid pada minit ke-58 ditepis keluar penjaga gol Dang Van Lam, anak buah Cheng Hoe sekali lagi dihukum.

Penyerang Nguyen Anh Duc bijak melakukan larian dalam kotak penalti untuk melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Khairul Fahmi bagi memberikan tuan rumah gol kedua pada minit ke-60.

Kemenangan itu meletakkan Vietnam yang baru beraksi dua perlawanan mengungguli Kumpulan A menerusi kelebihan jaringan apabila mengumpul enam mata diikuti Myanmar yang mengalahkan Laos 3-1 manakala Malaysia di tangga ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:45 PM