NASIR serahkan segalanya kepada Pesuruhjaya Sukan. FOTO/NSTP
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


SHAH ALAM: “Saya pun tidak tahu berhak atau tidak untuk memegang jawatan ini,” kata ‘Timbalan Presiden’ Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Justeru, Nasir yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu menyerahkan nasibnya di tangan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman untuk membuat keputusan mengenai barisan mana yang akan kekal menerajui badan induk itu.

Katanya, beliau langsung tidak berniat untuk menentang Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana niatnya hanyalah untuk membantu persatuan dan pasukan The Red Giants agar kembali digeruni.

“Kalau boleh, saya mahu membantu FAS dan kebetulan kumpulan itu (Geng 52) menjemput saya dan difahamkan mereka berhak untuk menuntut Kongres Luar Biasa (EGM) tetapi saya tidak tahu secara teknikalnya.

“Apapun, lebih baik jika kita serahkan segalanya kepada Pesuruhjaya Sukan. Selepas itu barulah kita fikirkan langkah seterusnya.

“Pendirian saya jelas bahawa sekiranya keputusan Pesuruhjaya Sukan tidak berpihak kepada kami, saya secara ‘gentleman’ rela hati melepaskan jawatan mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Perlawanan Akhir Piala Raja Muda Selangor di Padang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, petang tadi.

Dalam masa sama, Nasir juga menegaskan beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak ketika dicalonkan untuk memegang jawatan nombor dua dalam badan induk itu.

“Susah untuk saya katakan mengenai hal ini. Mereka datang kepada saya dan menjelaskan bahawa ia boleh dilakukan, jadi saya tiada masalah kerana saya boleh menyumbang.

“Bagi saya, kita lupakan sahaja hal itu. Kalau boleh saya memang mahu membantu pasukan ini tanpa jawatan pun tidak mengapa,” katanya.

Terdahulu, Nasir dilantik sebagai Timbalan Presiden FAS yang baharu selepas dipilih sebulat suara oleh 52 ahli gabungan pada EGM ‘haram’ yang berlangsung di sebuah hotel di Seri Kembangan, 8 November lalu.

Bagaimanapun, Tengku Amir Shah tidak mengiktiraf keputusan EGM terbabit dan pemilihannya sebagai Presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri ‘perjumpaan’ berkenaan juga dilakukan tanpa persetujuan beliau.

Semalam, Zaiton mengesahkan beliau sudahpun menerima dokumen lengkap berhubung EGM yang dilangsungkan oleh Geng 52 dan meminta tempoh dua minggu untuk menyelesaikan kemelut dalaman FAS itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 9:30 PM