HARITH mampu memberikan cabaran dan seterusnya menamatkan saingan di atas podium. FOTO/NSTP
Sukanteam

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan SIC Junior Team AFB Tech Racing, Ahmad Fuad Baharudin optimis pasukannya akan tampil dengan aksi terbaik meskipun ketiadaan pelumba utama, Danial Syahmi Ahmad Shahril dalam saingan WIRA KBS pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Danial yang ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan apabila berkongsi 133 mata bersama pendahulu, Md Syarifuddin Azman terpaksa melupakan perlumbaan minggu ini bagi menjalani rawatan akibat kemalangan ketika perlumbaan Asia Talent Cup baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahmad Fuad yakin pelumba yang lain seperti  Harith Haziq Zamri, Danel El Fahim, dan Md Sharul Ezwan Md Sharil mampu memberikan cabaran dan seterusnya menamatkan saingan di atas podium.

"Memang satu kerugian besar kepada pasukan dengan ketiadaan Danial dan ia juga merugikan dirinya sendiri. Namun, situasi ini tidak boleh dielakkan dalam dunia perlumbaan.

"Apa sahaja boleh berlaku. Kami doakan dia cepat sembuh dan menjadikan insiden ini untuk dia bangkit lebih kuat pada masa akan datang," kata Ahmad Fuad.

"Harith antara pelumba yang pernah menaiki podium musim ini meskipun dia beraksi dalam kategori WIRA KBS pada penggal pertama. Tidak mustahil dia mampu mengulanginya pada minggu ini."

Mengulas kekosongan yang ditinggalkan Danial, Ahmad Fuad berkata: "Kami tidak menggantikan tempat Danial dengan pelumba lain cuma pada minggu ini, pelumba CP115 kami, Md Idil Fitri akan beraksi dalam kategori WIRA KBS.

"Berdasarkan pengalamannya beraksi bersama jentera yang lebih laju sebelum ini, tidak mustahil dia mampu menempatkan diri di atas podium."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 4:24 PM