PAUL POGBA
Reuters

PARIS: Perancis dilanda masalah kecederaan menjelang pertemuan Liga Negara-Negara dengan Belanda dan persahabatan menentang Uruguay dengan pemain tengah Paul Pogba, penyerang Anthony Martial dan Alexandre Lacazette, serta pertahanan Benjamin Mendy terpaksa direhatkan.

Pemain Manchester United Pogba dan Martial tiba di kem latihan Perancis di Clairefontaine tetapi dilepaskan selepas penilaian dilakukan oleh doktor pasukan, Franck Le Gall, kata Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF).

Pemain Arsenal Lacazette dipanggil menggantikan Martial, tetapi digugurkan beberapa jam kemudian juga kerana kecederaan selepas Le Gall bercakap dengan pegawai perubatan kelab Inggeris itu.

Pogba yang tidak beraksi ketika United tewas 3-1 di Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin, didapati menghadapi kecederaan otot di paha kiri, manakala Martial mengalami masalah tendon.

Bek kiri Manchester City, Mendy cedera di bahagian lutut dan digantikan dengan pertahanan Olympique Lyonnais Ferland Mendy, manakala penyerang Borussia Moenchengladbach Alassane Plea dipanggil menggantikan Lacazette.

Pemain Tottenham Hotspur Moussa Sissoko akan menggantikan tempat Pogba.

Martial bermain 90 minit dan menjaringkan gol ke atas City di babak kedua. Kecederaan itu cukup mengecewakan buat Martial yang kembali mendapat tempat dalam skuad Perancis selepas meledak enam gol dalam enam penampilan terakhirnya untuk United.

Juara dunia, Perancis bertandang ke Belanda Jumaat ini sebelum berdepan Uruguay pada 20 November.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 8:08 AM
Skip this ad x