ZAITON dilihat individu paling tepat untuk  menyelesaikan kemelut FAS. FOTO/NSTP
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman dilihat sebagai individu paling tepat untuk  menyelesaikan kemelut yang sedang melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ketika ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan pihaknya sedia membantu Zaiton bagi menyelesaikan kemelut yang semakin parah di dalam FAS.

"Saya sudah memaklumkan kepada Datuk Zaiton bahawa Pesuruhjaya Sukan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan segala-galanya membabitkan isu ini. Ia kerana semua ahli gabungan atau kelab yang bernaung dengan persatuan bola sepak negeri mendaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

"FAM hanya dianggotai persatuan bola sepak negeri sebagai ahli gabungan. Jadi jika kemelut ini berterusan, Pesuruhjaya Sukan yang perlu menentukan kesahihan (perkara yang betul) dalam apa-apa isu yang timbul.

"Datuk Zaiton sudah memanggil kedua-dua pihak minggu lalu dan beberapa keputusan ada dibuat. Jadi setakat ini Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah masih sah sebagai Presiden FAS, itu saya boleh janji," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kemelut dalaman FAS timbul selepas satu kumpulan yang membabitkan beberapa wakil ahli gabungan mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan itu bagi memilih barisan kepemimpinan yang baharu pada 8 November lalu.

Tengku Amir bagaimanapun mendakwa keputusan EGM yang dibuat kumpulan terbabit tidak sah kerana melanggar Artikel 30 yang termaktub dalam Statut FAS.

Beliau yang juga Raja Muda Selangor (RMS) menjelaskan pemilihannya sebagai Presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri ‘perjumpaan’ berkenaan juga dilakukan tanpa persetujuan beliau.

Selain itu, Hamidin turut berharap kemelut yang sedang melanda FAS itu dapat diselesaikan secepat yang mungkin.

"Tengku Amir ada berhubung dengan FAM dan kita sudah tegaskan semua persatuan mesti mengikut statut persatuan negeri masing-masing kerana jika tidak, ia akan mendatangkan masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 7:08 PM