LEWIS HAMILTON
Reuters

 

SAO PAULO: Tuah membantu Lewis Hamilton menang Grand Prix Brazil awal pagi tadi dengan Mercedes muncul juara kategori pengeluar buat kali kelima berturut-turut dengan Max Verstappen berang terlepas peluang.

Ia kemenangan ke-72 dalam karier Hamilton dan ke-10 musim ini yang sudah meraih kejuaraan kategori pemandu buat kali kelima dan kini pelumba Britain itu membantu Mercedes meraih kejuaraan berganda.

Hamilton bermula di petak pertama namun tidak mampu menahan asakan pelumba Red Bull,Verstappen yang mendahului sehingga pelanggaran dengan pelumba Force India, Esteban Ocon di pusingan ke-44 dari 71 menyebabkan jentera pelumba Belanda itu berpusing dan membolehkan pelumba Mercedes kembali mendahului.

Verstappen kembali memberi saingan sengit namun gagal merapatkan jurang, menamatkan saingan pada kedua dengan perbezaan 1.469 saat ketinggalan kepada Hamilton.

Verstappen kemudiannya melepaskan geram dengan memarahi Ocon selepas tamat perlumbaan namun dileraikan krew pasukan daripada menjadi lebih buruk.

Pelumba veteran Ferrari, Kimi Raikkonen berjaya mengekang pesaing dari Red Bull, Daniel Ricciardo untuk menaiki podium pada penampilan ke-150 bersama pasukan Itali itu.

Ferrari perlu meraih 13 mata lebih daripada Mercedes untuk terus membuka peluang sehingga Abu Dhabi pada penghujung bulan namun gagal apabila Sebastian Vettel hanya menamatkan perlumbaan pada kedudukan keenam dan di belakang pelumba Mercedes, Valtteri Bottas pada kedudukan kelima.

Mercedes kini mengumpul 620 mata manakala Ferrari dengan 533 mata.

"Ia kejuaraan berganda. Mercedes AMG adalah juara dunia," kata Hamilton selepas muncul juara Interlagos dengan kebimbangan mengenai tayar dan enjinnya.

"Ia perjalanan yang menakjubkan bersama mereka. Inilah yang kami usahakan sepanjang tahun," katanya yang sudah boleh berpesta ketika saingan berbaki satu perlumbaan.

"Saya sentiasa memberitahu anda, satu penghormatan berlumba untuk mereka. Hari ini adalah yang terbaik kami mampu lakukan, kami bergelut kerana berdepan masalah. Pada satu peringkat, kami tidak berada pada tahap terbaik."

Hanya pasukan paling lama dan berjaya iaitu Ferrari berjaya meraih enam gelaran berturut-turut, ketika era emas bersama pelumba Michael Schumacher dari 1999 hingga 2004.

"Ia musim yang sangat sukar, kami di atas dan bawah. Ferrari bangkit dengan agresif dan Red Bull pada peringkat akhir namun ia menjadikan kejuaraan lebih manis untuk dinikmati," kata bos pasukan, Toto Wolff.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 11:10 AM