PEMAIN PSG meraikan gol ketiga Cavani ketika mengalahkan Monaco. -Foto Reuters
Reuters

PSG: Edinson Cavani menjaringkan hatrik ketika membantu Paris St Germain membelasah Monaco 4-0 tetapi dia memerlukan dua kali bantuan VAR (video bantuan pengadil) sekali gus kemenangan ke-13 berturut-turut Ligue1, awal pagi tadi.

Kemenangan besar yang turut menyaksikan Neymar menjaringkan gol memberikan juara bertahan itu 39 mata maksimum sambil Thierry Henry terus gagal mencari kemenangan pertama sebagai jurulatih Monaco yang kini berada di tangga kedua terbawah liga dengan tujuh mata.

Cavani menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-4 selepas mendapat hantaran Neymar tetapi jaringan itu mendapat bantahan pertahanan Monaco dan hanya disahkan melalui VAR selepas tidak ofsaid.

CAVANI (kanan) melakukan percubaan ke gawang Monaco. -Foto Reuters

Dia sekali lagi membolosi gawang lawan tujuh minit kemudian apabila menolak bola masuk hantaran Moussa Diaby tetapi turut hanya disahkan selepas dirujuk VAR.

Bagaimanapun, jaringan ketiganya tidak dipertikaikan apabila dia melengkapkan hatrik pada minit ke-53 selepas merembat dari jarak dekat.

Neymar menambah kesengsaraan Monaco dengan menjaringkan penalti pada minit ke-64 selepas Kylian Mbappe dikasari dalam kotak penalti oleh Djibril Sidibe.

VAR turut menyelamatkan Monaco daripada kekalahan lebih besar apabila jaringan Julian Draxler dan Mbappe dibatalkan kerana ofsaid tetapi mereka jelas bukan tandingan PSG.

Dalam perlawanan awal, Caen sekadar seri tanpa jaringan menentang Bordeaux di tempat lawan sekali gus melonjak mengatasi Dijon dalam carta liga selepas kelab itu tewas 2-0 kepada Marseille dan melepasi zon penyingkiran. Rennes dan Nantes pula seri 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 8:07 AM