REUS (dua dari kiri) meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan sebelum Borussia Dortmund menundukkan Bayern Munich 3-2 di Signal Iduna Park, Dortmund, hari ini. FOTO Reuters.
Reuters

DORTMUND, Jerman: Pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum mengalahkan juara bertahan, Bayern Munich 3-2 ketika jaringan pemain gantian Paco Alcacer pada babak kedua membolehkan mereka melonjak tujuh mata di depan musuh utama itu di puncak liga.

Dalam aksi penuh menarik bertepatan dengan statusnya sebagai perlawanan besar, Dortmund muncul pemenang sekali gus menjarakkan diri dengan pencabar utama kejuaraan menjelang rehat tugasan antarabangsa.

Robert Lewandowski dua kali meletakkan pelawat Bayern di depan, namun kapten Dortmund, Marco Reus menyamakan kedudukan setiap kali sebelum pemain Sepanyol, Alcacer mengesahkan statusnya sebagai ‘super-sub’ pada minit ke-73 dengan gol penentuan susulan serangan balas pantas.

Ia gol ketujuh Alcacer dalam penampilan keempat sebagai pemain gantian musim ini dan melonjakkan Dortmund, yang kekal tanpa kalah dalam liga kepada 27 mata, dengan Borussia Moenchengladbach di tangga kedua (24) manakala Munich ketiga (20).

“Kami dihukum kerana kesilapan selepas babak pertama yang cemerlang. Kami bergelut dengan kepantasan mereka apabila mereka mengasak,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer.

“Anda boleh lihat kedudukan carta. Ia bukanlah persembahan buruk kami tapi kami kurang bijak untuk menang di sini, sesuatu yang tidak mustahil.”

Kekalahan kedua Bayern dalam liga musim ini turut mencetus tekanan buat jurulatih Nico Kovac, ketika kelab Bavaria itu yang sudah biasa dengan kejayaan domestik selepas menang enam kejuaraan terakhir, kini bergelut untuk mengejar Dortmund.

Mereka boleh merudum ke tangga keempat hari ini sekiranya RB Leipzig menewaskan Bayer Leverkusen.

Terdahulu, Gladbach mengukuhkan cengkaman di tangga kedua dengan kemenangan 3-1 di Werder Bremen berikutan hatrik penyerang Alassane Plea, yang turut mengumpul lapan gol musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 9:54 AM