WILSON dipanggil sertai skuad England. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Penyerang Bournemouth, Callum Wilson dipanggil menyertai skuad England buat kali pertama bagi perlawanan menentang Amerika Syarikat dan Croatia.

Pertahanan Everton, Michael Keane, pemain tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek dan penyerang Manchester United, Jesse Lingard dipanggil semula menyertai skuad oleh pengurus Gareth Southgate selepas tidak berada dalam pasukan pada aksi antarabangsa terakhir sebelum ini.

Pemegang rekod penjaring terbanyak England, Wayne Rooney turut berada dalam skuad bagi aksi persahabatan berdepan AS pada 15 November ini, yang menjadi perlawanan perpisahan buat penjaring terbanyak England itu.

“Callum adalah penyerang yang sudah bersama kami dalam skuad bawah 21 tahun (B-21) hingga kami tahu banyak perkara mengenainya,” kata Southgate pada sidang akhbar, semalam. “Dia mampu memberi ancaman dengan kemampuannya berlari dari belakang pertahanan.

“Dia juga mampu menjaringkan gol atau membuat umpanan dengan mengumpul jumlah jaringan yang banyak musim ini.

“Jadi ia peluang baik untuk kami menilainya dan melihat bagaimana dia sesuai dengan apa yang kami lakukan, selain memberikannya pengalaman beraksi bersama pasukan senior.”

Penyerang berusia 26 tahun itu sudah meledak enam gol dalam Liga Perdana buat Bournemouth musim ini, membantu skuad Eddie Howe melonjak ke tangga keenam dalam carta.

Southgate turut mempertahankan keputusannya menyenaraikan Rooney, yang sudah dua tahun tidak beraksi bersama England, namun akan melengkapkan penampilan ke-120 apabila berdepan AS.

“Banyak perbincangan berterusan mengenai cara untuk memberi penghormatan kepadanya sejak Wayne bersara,” kata Southgate. “Perbincangan mereka bermula 12 bulan yang lalu.

“Saya lebih suka jika penghormatan itu diberikan sebelum Piala Dunia tapi Wayne tidak mahu mengganggu persiapan pasukan ketika itu, jadi sekarang kami mempunyai peluang untuk menunaikan penghormatan itu.

“Saya fikir dia berhak untuk melengkapkan penampilannya selama lebih 10 tahun, enam kejohanan utama dan menjadi pemegang rekod penjaring terbanyak kami.

“Saya faham ia akan menimbulkan banyak perdebatan dan sangkaan, tapi ia satu cara untuk menghargai sumbangannya.”

Selepas aksi persahabatan berdepan AS, England akan mengharungi aksi Liga Negara Eropah menentang Croatia pada 18 November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 11:15 AM