EVERTON didenda selepas melanggar peraturan pendaftaran pemain muda kerana menawarkan dorongan yang dilarang.
Reuters

LONDON: Everton didenda £500,000 (RM2.7 juta) oleh Liga Perdana Inggeris dan digantung daripada mendaftar beberapa pemain akademi selama dua tahun selepas melanggar peraturan pendaftaran pemain muda kerana menawarkan dorongan yang dilarang.

Liga Perdana dalam satu kenyataan menjelaskan Everton mengakui memberikan dorongan kepada pemain dan keluarga untuk menggalakkannya mendaftar bersama kelab itu.

Apabila didedahkan dengan bukti oleh Liga Perdana, Everton juga menubuhkan satu siasatan dalaman yang menemui salah laku sama berhubung enam pemain muda lain, kata kenyataan itu.

Liga Perdana mendenda Everton dan mengharamkan mereka daripada mendaftar pemain berusia 10 hingga 18 tahun yang sudah didaftarkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris atau kelab liga bawahan.

Kelab itu juga perlu membayar pampasan kepada dua bekas pemain akademi mereka.

Everton pula dalam satu kenyataan menyatakan mereka menerima hukuman itu dan membuat permohonan maaf.

“Kami sudah memulakan pemeriksaan penuh terhadap operasi akademi kami dan komited untuk memastikan isu seperti ini tidak berlaku lagi di Everton,” menurut kelab itu.

Hukuman itu pernah dikenakan ke atas Liverpool pada April 2017 kerana kesalahan sama. Liverpool turut digantung selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 11:00 AM