GIROUD jaring gol tunggal perlawanan. FOTO/AGENSI
Agensi

BORISOV, Belarus: Maurizo Sarri menegaskan Olivier Giroud adalah pemain penting buat Chelsea selepas gol pertama yang dijaringkan penyerang itu sejak Mei lalu membantu The Blues mara ke pusingan 32 terbaik Liga Europa.

Penyerang kebangsaan Perancis itu yang belum menjaringkan gol sejak dibimbing Sarri menanduk masuk hantaran lintang Emerson pada babak kedua bagi membolehkan Chelsea menewaskan BATE Borisov 1-0, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Sarri kekal di tangga teratas Kumpulan L apabila mengumpul 12 mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Malah, kelab Liga Perdana Inggeris itu layak ke pusingan kalah mati biarpun masih berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan.

“Saya berpuas hati dengan prestasinya. Saya tahu sebagai penyerang dia mahu menjaringkan gol dan ia penting untuk tahap keyakinannya.

“Saya tidak mahu dia bimbang mengenai menjaringkan gol kerana bagi kami dia pemain yang penting. Dia sangat berguna untuk pasukan,” kata Sarri yang menyaksikan anak buahnya beraksi dalam keadaan cuaca sejuk di Belarus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:37 AM