PEMAIN Chelsea meraikan kejayaan selepas mara saingan kalah mati. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Chelsea mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Liga Europa selepas menewaskan BATE Borisov 1-0 manakala naib juara musim lalu, Olympique Marseille tersingkir daripada saingan peringkat kumpulan.

Olivier Giroud muncul wira The Blues apabila meledak gol tunggal kemenangan bagi memastikan skuad bimbingan Maurizio Sarri mara daripada Kumpulan L biarpun saingan masih berbaki dua perlawanan.

Bagaimanapun, Marseille ditunjukkan jalan keluar daripada saingan selepas tewas 1-2 di tangan Lazio dalam aksi Kumpulan H.

Gol sumbangan Marco Parolo dan Joaquin Correa sudah memadai menambah derita Marseille yang tewas buat kali keempat berturut-turut dalam semua pertandingan.

Sementara itu, Lazio mara ke pusingan 32 terbaik bersama Eintracht Frankfurt yang menyingkirkan Apollon Limassol 3-2.

Sevilla yang muncul pasukan paling berjaya dalam saingan Liga Europa apabila meraih lima gelaran juara melakar kemenangan 3-2 ke atas Akhisarspor dalam aksi Kumpulan J biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dengan Ever Banega meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada lewat perlawanan.

Juara Piala UEFA 1983, Anderlecht turut tersingkir selepas kalah 0-2 kepada Fenerbahce dalam aksi Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:31 AM