PRESIDEN FAS, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. FOTO Syarafiq Abd Samad
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal menerajui Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) apabila dilantik semula selaku Presiden pada Kongres Luar Biasa (EGM) FAS, sebentar tadi.

Bagaimanapun, perubahan besar berlaku dalam kepemimpinan badan induk itu yang menyaksikan selain Tengku Amir Shah, hanya dua individu yang dipilih semula untuk mengganggotai barisan baharu persatuan itu.

Dua individu yang dipilih semula adalah Naib Presiden iaitu Datuk Ariffin Ab Hamid dan Omar Ali yang mendapat sokongan sebulat suara daripada semua 52 ahli gabungan yang hadir pada kongres terbabit.

Dua individu yang dipilih untuk mengisi dua lagi slot Naib Presiden adalah Hamdan Hashim dan Roslin Shariff.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dipilih sebagai Timbalan Presiden FAS yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Sementara itu, rombakan besar besaran dilakukan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang menyaksikan 13 muka baharu dilantik untuk mengisi jawatan terbabit.

EGM terbabit boleh dilangsungkan dan sah mengikut statut memandangkan kehadiran ahli gabungan melebihi 50 peratus daripada 96 ahli gabungan yang berdaftar dengan persatuan itu pada kongres terbabit.

Sebagai rekod, Tengku Amir Shah dilantik sebagai Presiden FAS pada EGM yang berlangsung pada Julai lalu selepas penyandang, Datuk Seri Subahan Kamal melepaskan jawatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 11:25 PM