Wan Jamak (kiri) dan Azraai (kanan) mahu Subkhiddin (tengah) kekal. FOTO fail HM Digital
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas pemain kebangsaan hari ini tampil memberi sokongan kepada Subkhiddin Mohd Salleh supaya terus kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut seorang daripada bekas pemain itu, Serbegeth Singh, Subkhiddin masih lagi indvidu terbaik untuk menggalas tugas berkenaan dan berharap FAM menolak surat peletakan jawatan yang diserahkan Isnin lalu.

"Kami daripada 'The Friendship Circle' terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dan negeri menyatakan sokongan kepada Subkhiddin untuk terus memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

"Setakat ini, hampir 60 bekas pemain sudah menyatakan sokongan kepada Subkhiddin. Kami percaya beliau masih lagi yang terbaik bukan saja dari segi pengalamannya malah beliau juga dipilih oleh ahli gabungan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM.

"Subkhiddin harus dikekalkan, untuk melakukan perubahan perlukan masa, takkan disebabkan satu prestasi pengadil (final Piala Malaysia 2018), semua habis menjadi korban," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Antara bekas pemain yang turut memberi sokongan adalah Shahril Arsat, Azraai Khor Abdullah, Fuad Abdullah, Razip Ismail, K Gunalan, Zainal Noordin, Wan Jamak Wan Hassan dan P Maniam.

Subkhiddin sebelum ini membuat pengumuman mengejut untuk meletakkan jawatan susulan pelbagai kritikan yang diterima mengenai mutu pengadilan pada aksi final Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu hingga membabitkan ahli keluarganya.

Ada pihak mahu bekas pengadil FIFA itu bertanggungjawab kerana memilih Suresh Jayaraman yang didakwa gagal mengendalikan perlawanan antara Perak dan Terengganu di Stadium Shah Alam dengan baik.

Serbegeth berkata, Subkhiddin seharusnya tidak terlalu melayan kritikan penyokong menerusi sosial media.

"Zaman sosial media ini, memang ramai orang berani mengkritik tapi ada yang tidak tengok perlawanan bola sepak pun. Kita jangan terlalu mengagung-agungkan jurulatih luar, mereka juga ada buat kesilapan. 

"Kalau kita lihat perlawanan Liga Juara-Juara pagi tadi, pengadil dari Hungary Viktor Kassai lagi teruk apabila memberikan sepakan penalti kepada Manchester City sedangkan pemain Shakhtar Donetsk tidak mengasari Raheem Sterling. Beliau pengadil yang pernah mengadili final Liga Juara-Juara, tapi masih buat silap," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 5:58 PM