Adam Norrodin belajar saingan Moto2 lebih mencabar. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Keputusan menyertai perlumbaan Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) musim depan adalah tepat untuk Adam Norrodin dan ia akan menjadi pentas 'pertapaan' buat pelumba negara itu untuk menguasai litar di Eropah.

Ayahnya, Norrodin Jalil berkata, berdasarkan rekod selama tiga tahun berlumba dalam Kejuaraan Moto3 Dunia, anak ketiganya itu tidak mengalami masalah beraksi di sirkit sekitar Asia berbanding Eropah.

Justeru, katanya keputusan menyertai perlumbaan CEV adalah paling tepat, apatah lagi Adam perlu mempelajari banyak selok-belok dengan saingan Moto2 yang lebih mencabar sebelum kembali beraksi di pentas dunia pada masa akan datang.

"Selepas perbincangan, CEV adalah paling tepat buat Adam kerana Moto2 bukan saja memerlukan kekuatan mental atau fizikal tetapi banyak lagi perkara lain.

"Moto2 dunia bukan mudah dan dia perlu belajar dari bawah untuk memperkuatkan asas dalam kelas pertengahan itu.

"Sekiranya dilihat keputusan dia (di Moto3) di sebelah Asia, dia tidak mempunyai masalah. Banyak masalah dihadapinya dalam tiga tahun ini ialah di trek Eropah.

"Jadi kalau dia ke CEV, dia akan lebih mahir di Eropah sebelum buat penampilan semula di peringkat dunia dalam Moto2. Jadi, biar dia timba pengalaman di CEV dulu, mahirkan dengan trek di sebelah Eropah dan buat penampilan semula nanti (peringkat dunia)," kata Norrodin.

Ogos lalu, Adam digugurkan daripada senarai pasukan Moto3, PETRONAS Sprinta Racing bagi musim 2019 dan tempatnya digantikan pelumba dari Scotland, John McPhee.

Rakan sepasukan Adam ketika ini Ayumu Sasaki kekal bersama pasukan buat musim kedua selepas menyertai pasukan pada 2017.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 4:26 PM